Tok Jalal berputih mata, percaturan tenang Istana angkat Ismail Lasim jadi MB

Oleh AZLAN ZAINAL

Semalam, BN dengan kerjasama PN menang bergaya dalam PRN Negeri Sembilan.

Pagi ini pula, seluruh rakyat Negeri menerima Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Yang mencuri perhatian tindakan Tuanku berkenan memasyhurkan Datuk Ismail Lasim, politikus senior Umno sebagai MB.

Pemilihan beliau dikhabarkan berbeza dengan tiga nama yang dipersembahkan kepada Tuanku malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias atau Tok Jalal merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan tetap berputih mata.

Usaha menggerakkan 14 ADUN BN menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan sebelum ini termasuk dakwaan melibatkan sokongan dalaman bersama Undang Yang Empat bagi mencetuskan perubahan di peringkat Yamtuan, akhirnya tidak menjadi.

Pelantikan Ismail ini turut membawa makna simbolik. Sudah lama MB tidak berasal dari Tanah Luak Mengandung. Terakhir Almarhum Dato’ Dr Mansor Othman dari Seri Menanti yang menjawat jawatan MB bermula 1969 hingga 1978.

Pada PRN kali ini Ismail Lasim bertanding di DUN Juasseh yang merupakan sebahagian Ulu Muar yang berada dalam Tanah Luak Mengandung.

Sehari sebelum pembuangan undi, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bersidang dan telah memuktamadkan beberapa perkara besar.

Penzahiran dua Undang baharu iaitu Sungei Ujong dan Rembau manakala pemakluman pemecatan Undang Jelebu.

Perjalanan DKU tiada terikat kepada korum, tetapi lebih merujuk kepada ‘local standi’, iaitu hanya menerima keputusan muktamad di Luak dan memaklumkan untuk diwartakan.

Di tengah kemelut negeri, istiadat sumpah taat setia Menteri Besar baharu kepada Yang di-Pertuan Besar bersama DKU seolah-olah menjadi titik penamat kepada krisis yang berlarutan ini.

Ismail Lasim hanya menadah buah yang gugur tanpa perlu menggaitnya. Umno dan BN seolah-olah tidak punya pilihan melainkan menerima.

Yang paling menyerlah ialah kebijaksanaan Istana dan kesabaran Tuanku Muhriz. Percaturan yang diatur dengan tenang akhirnya membuahkan hasil, manakala pihak yang lantang mencabar kini diam seribu bahasa.

Politik elit ini luar biasa, jadi tiada pelik institusi ini boleh bertahan ratusan tahun lamanya.

Maka benarlah kata “Akan berkati sekalian yang setia, musuhnya habis binasa!”

Apapun, tahniah buat Dato’ Ismail Lasim atas pelantikan sebagai Menteri Besar – Alumni Universiti Malaya.

BACA JUGA ‘Saya pun tidur tak cukup lagi’, MB baharu N. Sembilan jawab kerusi ADUN banyak kosong