PM Anwar ucap Selamat Hari Ibu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu termasuk buat arwah ibu beliau sendiri Allahyarham Che Yan Hamid Hussein dan juga isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut catatan di Facebook hari ini, Anwar menyifatkan tiada ayat yang mampu diungkapkan tatkala mengenang jasa dan pengorbanan ibu dalam mendidik dan membesarkan anak-anaknya.
“Dalam setiap pencapaian, atau detik kecemerlangan yang kita kecapi, ada peranan ibu di sebaliknya, “ kata beliau.
Bagi mereka yang telah kehilangan ibu, Anwar berharap agar golongan ibu yang telah meninggal dunia agar bertemu damai di sana.
“Kepada mereka yang masih punyai ibu, semoga terus dalam kasihnya,” katanya.
Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun.
Sementara itu, di Konvensyen Wanita Nasional Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur sebanyak 3,000 kuntum bunga ros diedarkan kepada peserta yang datang dari seluruh negara sempena Hari Ibu.