SEKPUR dan gabungan NGO buat laporan polis, gesa tindakan susulan laporan RCI Tabung Haji

​FOTO BERITA: Laporan Polis & Sidang Media oleh Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) berhubung isu RCI Tabung Haji di Hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. 3hb Ogos 2026 (Isnin)

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) bersama gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan susulan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.

Urucakap SEKPUR MJ . Razali berkata, laporan polis itu dibuat susulan pendedahan laporan RCI yang telah diumumkan kepada umum oleh kerajaan, yang menurutnya membangkitkan kebimbangan mengenai aspek tadbir urus dan kemungkinan berlaku salah laku dalam pengurusan Tabung Haji pada tempoh tertentu.

Menurut beliau, perkara itu menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit, khususnya orang Melayu dan umat Islam yang menyimpan wang bagi tujuan menunaikan ibadah haji. “Kami berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam salah guna kuasa atau tindakan yang menyebabkan kerugian kepada Tabung Haji. Apa yang penting ialah tindakan diambil berdasarkan dapatan RCI,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan dana awam milik pendeposit, dan menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku kelemahan atau penyelewengan dalam pengurusan institusi tersebut.

Sementara itu, wakil gabungan NGO Melayu Negeri Sembilan, Ros Hussein, berkata pihaknya menyokong penuh usaha membuat laporan polis dan menyeru lebih banyak NGO serta pendeposit Tabung Haji tampil membuat laporan yang sama di seluruh negara. Menurut beliau, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan pendeposit sedia ada, malah menyentuh kepentingan generasi akan datang yang akan terus menggunakan perkhidmatan Tabung Haji.

Dalam pada itu, Ungcle Shahbudin menyifatkan keputusan kerajaan MADANI menyiarkan laporan RCI kepada umum sebagai satu langkah yang menunjukkan komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
Beliau turut merujuk kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang memaklumkan bahawa Kabinet telah membincangkan laporan tersebut dan siasatan lanjut akan diteruskan mengikut proses undang-undang.
Katanya, tindakan kerajaan membuka laporan RCI kepada penelitian umum memberi ruang kepada rakyat memahami isu sebenar yang berlaku dalam pengurusan Tabung Haji pada masa lalu.

Sementara itu Mustafa Mansor menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati terlibat dalam salah laku perlu dipertanggungjawabkan tanpa mengira latar belakang politik.
Beliau turut mengalu-alukan usaha pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan untuk meneruskan siasatan berdasarkan dapatan RCI serta menggesa orang ramai, khususnya pendeposit Tabung Haji, memainkan peranan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berkaitan.

Sidang media itu diakhiri dengan seruan supaya integriti dan keyakinan terhadap Tabung Haji terus dipelihara demi kepentingan pendeposit serta institusi yang menjadi tonggak pengurusan dana umat Islam di negara ini.