Akar umbi Umno berang ugut ‘tebuk atap’ pemimpin dari parti sendiri

Ketika pentadbiran baharu Negeri Sembilan masih menyusun barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ahli Umno sudah naik berang sehingga tahap mempertikaikan kewibawaan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Reaksi tidak senang dengan kemungkinan Pakatan Harapan (PH) menyertai pentadbiran Negeri Sembilan menerusi pembentukan barisan Exco turut muncul dari kalangan pemimpin akar umbi Umno termasuk di luar Negeri Sembilan.

Antaranya, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pandan, Syed Rosli Harman yang mempersoalkan sama ada Ismail hanya akan menjadi boneka jika wakil PH dilantik menganggotai pentadbiran negeri.

“MB boneka ke sahaja ni? Jangan perbodohkan pengundi Melayu. Barua betul,” kecamnya.

Lebih mengejutkan, dalam hantaran berasingan, Syed Rosli secara terbuka membangkitkan kemungkinan Ismail dijatuhkan menerusi usul tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

“MB N9 ni boleh ditumbangkan di Sidang Dewan Negeri jika usul tidak percaya dibuat, orang lain pun ada pilihan mereka,” tegasnya.

Nada berkenaan mengundang kritikan pengguna media sosial yang mempersoalkan sama ada perangai ‘tebuk atap’ kini mahu digunakan terhadap pemimpin daripada parti sendiri hanya kerana perebutan pengaruh dan jawatan.

“Nak tebuk atap geng sendiri ke?” soal seorang pengguna.

Seorang lagi menyindir, “Aik, lain macam. Geng sendiri, sama parti pun kau nak tikam juga ke?”

Turut menegur, “Kawan sendiri pun nak tumbangkan ke?” manakala seorang pengguna berpendapat Umno sukar dipisahkan daripada perebutan kuasa dan jawatan.

BACA JUGA Melampaunya Exco Pemuda Umno sindir ‘tahlil pemakaman Loke’