Tony Pua dah jual sahamnya 12 tahun lepas sebelum Cyber Village dapat kontrak?
Dakwaan yang mengaitkan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dengan kontrak pembangunan platform THiJARI bernilai RM4.53 juta tular di media sosial selepas beberapa dokumen perjanjian antara Lembaga Tabung Haji dan Cyber Village Sdn Bhd disebarkan.
Pihak yang membuat dakwaan itu mendakwa Cyber Village pernah diasaskan dan dimiliki oleh Pua, atau nama penuhnya Pua Kiam Wee, sekali gus cuba menimbulkan persepsi tentang konflik kepentingan ketika kontrak tersebut dimeterai pada 31 Disember 2019.
Bagaimanapun, Pua menerusi respon kepada Harapan Daily menafikan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan pemberian kontrak berkenaan.
Menurutnya, beliau telah menjual keseluruhan saham dalam Cyber Village kira-kira 12 tahun lepas sebelum kontrak tersebut diberikan. Beliau juga menegaskan bahawa syarikat itu mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan sistem perbankan internet.
Berikut ialah penjelasan mudah faham mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
Apa sebenarnya tuduhan yang dibuat?
Pihak yang menularkan dakwaan itu membina naratif berikut:
1) Tabung Haji melantik Cyber Village Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan TH Online Services atau THiJARI ketika pemerintahan PH.
2) Kontrak itu dikatakan bernilai RM4,533,245.62, termasuk SST.
3) Cyber Village pernah diasaskan dan dimiliki oleh Pua Kiam Wee, iaitu nama penuh Tony Pua.
4) Tony Pua ketika itu ialah Ahli Parlimen DAP dan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Apa penjelasan balas Tony Pua?
Tony Pua menjawab melalui tiga perkara utama:
1) Beliau sudah lama menjual syarikat itu
Menurut Pua, beliau telah menjual semua saham dan meninggalkan Cyber Village kira-kira 12 tahun sebelum kontrak tersebut. Laporan terdahulu mengenai kontroversi sama turut merekodkan kenyataannya bahawa beliau menjual semua saham sebelum memasuki politik.
Maknanya, walaupun beliau memang pengasas atau bekas pemilik Cyber Village, hubungan itu ialah hubungan sejarah, bukannya bukti beliau masih menjadi pemilik, pengarah atau penerima keuntungan pada tahun 2019.
Cyber Village pula dilaporkan telah diambil alih oleh Silverlake Axis pada 2013, enam tahun sebelum kontrak THiJARI tersebut.
2) Cyber Village mempunyai pengalaman dalam perbankan digital
Cyber Village adalah antara syarikat utama dalam pembangunan sistem internet banking di Malaysia. Rekod korporat Silverlake memang menunjukkan Cyber Village terlibat dalam penyelesaian digital, internet, e-dagang dan projek bagi sektor perbankan serta kewangan.Â
Syarikat itu juga pernah melaksanakan sistem internet banking untuk institusi kewangan seperti Bank Rakyat.
Justeru beliau berpendapat Cyber Village mempunyai merit dan kepakaran teknikal yang diperlukan.
3) Beliau menafikan terlibat dalam keputusan kontrak
Pua menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa peranan dalam penganugerahan kontrak itu kerana sudah melepaskan saham 12 tahun lepas sebelum pemberian kontrak.