‘Milik Abang Anwar sekarang?’, Syed Saddiq jawab fitnah buat ‘deal kotor’ untuk dibebaskan
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas keras fitnah kononnya beliau membuat “perjanjian” dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilepaskan daripada pertuduhan mahkamah.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak masuk akal kerana pembebasannya diputuskan oleh lima hakim di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas melalui proses perbicaraan selama enam tahun.
“Adakah saudara/saudari mengatakan lima orang hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan yang membebaskan saya dari tahun 2025 hingga 2026 selepas enam tahun perbicaraan merentasi tiga kerajaan dan Perdana Menteri yang berbeza, dikawal oleh Datuk Seri Anwar?” soalnya.
Syed Saddiq berkata demikian ketika menjawab hantaran seorang pengguna Threads dikenali sebagai alvineizlan yang cuba mengaitkan keputusan kes mahkamahnya dengan percaturan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi hantaran bertajuk “Biar gambar berbicara”, pengguna terbabit mendakwa Anwar memerlukan Syed Saddiq untuk mempertahankan kerusi Parlimen Muar.
Tambah pengguna akaun palsu itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan berkenaan, iaitu Maharani dan Sungai Balang, dimiliki Barisan Nasional (BN).
Mengheret hakim
Pengguna itu turut membuat spekulasi bahawa penghakiman kes Syed Saddiq ditangguhkan untuk melihat keputusan PRN Johor sebelum satu “perjanjian” didakwa dibuat bagi membebaskan beliau.
Malah, hantaran tersebut mendakwa Syed Saddiq, 34, kini “milik Abang Anwar”, sekali gus memberi gambaran seolah-olah keputusan badan kehakiman boleh ditentukan melalui rundingan politik.
Bagaimanapun, kira-kira enam jam kemudian, Syed Saddiq tampil menyangkal dakwaan itu sambil mengingatkan pihak terbabit supaya tidak sewenang-wenangnya mengheret hakim dan institusi kehakiman ke dalam tuduhan politik tanpa asas.
“Nak memfitnah pun gunalah akal yang dikurniakan oleh Allah SWT,” tegasnya.
Tunang kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, 32, itu turut mencabar individu terbabit agar tidak berselindung di sebalik akaun palsu ketika membuat tuduhan serius terhadap dirinya, Perdana Menteri dan anggota badan kehakiman.
Menurut Syed Saddiq, jika beliau benar-benar mahu mendapatkan kebebasan melalui suatu “perjanjian kotor”, perkara itu boleh sahaja dilakukannya sejak kes berkenaan bermula pada 2020.
“Kalau saya nak buat ‘deal kotor’ untuk dibebaskan dengan cara mudah, dah lama saya buat dari tahun 2020 lagi.
“Sebaliknya, saya melawan dan menang di mahkamah selepas enam tahun yang amat memeritkan,” tegas bekas Menteri Belia dan Sukan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.