Baru menang sudah berebut jawatan, syor Timbalan Exco bongkar nafsu kuasa di sebalik ‘penyatuan Melayu’

Belum reda kemelut pemilihan Menteri Besar, politik Negeri Sembilan kini sedang bergolak susulan syor kerajaan negeri mewujudkan jawatan Timbalan Exco bagi membantu pentadbiran.

Pemerhati politik, Omar Mat Noor menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti bahawa slogan “penyatuan Melayu-Islam” yang dilaungkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak lebih daripada perebutan jawatan dan kuasa.

“Politik Negeri Sembilan terus bergolak. Selepas kecoh mengenai jawatan Menteri Besar, kini berebut pula jawatan Exco.

“Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

“Ketika berceramah, masing-masing bercakap mengenai penyatuan Melayu-Islam, tetapi sebenarnya demi jawatan dan kuasa,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bagi membantu mengukuhkan pentadbiran negeri.

Menurut Ismail, barisan Exco akan melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti komponen kerajaan, termasuk Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Bagaimanapun, Omar berpendapat cadangan jawatan baharu itu menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar diperlukan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran atau sekadar jalan keluar bagi memenuhi tuntutan parti-parti yang mahu mendapatkan kedudukan.

Katanya, sebelum ini BN sering dituduh mengejar jawatan dan kuasa tetapi perkembangan terbaharu menunjukkan Pas juga mempunyai keinginan sama untuk memperoleh tempat dalam pentadbiran negeri.

“Ingatkan BN sahaja mengejar jawatan dan kuasa, tetapi Pas juga bernafsu menagih jawatan dan kuasa,” sindirnya.

Sasaran

Omar turut menyelar naratif semasa kempen yang menjadikan DAP sebagai sasaran, kononnya parti itu mempengaruhi setiap keputusan kerajaan terdahulu.

Namun, katanya, pergolakan yang berlaku sekarang membabitkan parti-parti Melayu sendiri tanpa sebarang kaitan dengan DAP.

“Sebelum ini salahkan DAP, kononnya semua perkara dipengaruhi DAP. Tetapi sekarang faktanya politik bergolak sesama Melayu.

“Sepatutnya rakyat didahulukan, bukannya kehendak peribadi atau parti politik,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan kedudukan BN yang hanya memperoleh 18 kerusi dan gagal menguasai majoriti mudah menyebabkan pembentukan kerajaan negeri menjadi semakin rumit apabila kepentingan setiap parti perlu diseimbangkan.

Menurutnya, keadaan itu amat malang bagi rakyat Negeri Sembilan yang kini terpaksa menyaksikan krisis politik berlarutan ketika tumpuan sepatutnya diberikan kepada ekonomi, kos sara hidup dan kebajikan rakyat.

“Bila terlajak tangan memangkah, terpaksalah hadap untuk lima tahun lagi,” katanya.

Malah, beliau menyifatkan kemelut itu sebagai “kifarah” akibat pelbagai dakwaan dan fitnah yang menurutnya disebarkan sepanjang kempen PRN sehingga sebahagian pengundi gagal membezakan antara fakta dengan propaganda.

“Saya berpandangan inilah kifarah yang terpaksa ditanggung apabila pelbagai fitnah bertaburan semasa kempen.

“Ramai yang percaya fitnah sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil,” kata Omar lagi.

BACA JUGA ‘Milik Abang Anwar sekarang?’, Syed Saddiq jawab fitnah buat ‘deal kotor’ untuk dibebaskan