Dulu anggap tiada ‘sakau’, SPRM kini tahan bekas CEO, CFO, buru transaksi saham RM370 juta

Tindakan susulan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji kini semakin memperlihatkan perkembangan konkrit.

Dua bekas pegawai kanan sebuah syarikat milik badan berkanun telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia sekali gus menjawab sindiran penentang Kerajaan MADANI yang sebelum ini lantang mendakwa kononnya laporan RCI itu tidak menemukan sebarang unsur penyelewengan atau “sakau” serta tidak akan membawa kepada tindakan penguatkuasaan.

Semalam, seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), masing-masing berusia 68 dan 60 tahun, ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

Kedua-duanya ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM jam 6.30 petang semalam.

Bagaimanapun, lapor BH, suspek dibebaskan malam tadi atas faktor kesihatan dan akan hadir semula ke SPRM pada jam 10 pagi ini untuk disambung rakaman percakapan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Merasuah

Kelmarin, dua individu pertama membabitkan pengarah syarikat dan bekas pengurus ladang ditahan susulan siasatan pasukan khas ditubuhkan SPRM menyemak serta meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji.

Pengarah syarikat reka bentuk berusia lingkungan 50-an ditahan jam 7.30 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Lapor BH, individu berkenaan ditahan kerana disyaki merasuah RM300,000 kepada seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan untuk mendapatkan projek bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta.

Kesalahan itu disyaki dilakukan antara 2014 hingga 2018, dengan suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang berjumlah kira-kira RM300,000.

Suspek kedua pula membabitkan seorang bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah yang disyaki menyeleweng kontrak bernilai kira-kira RM8 juta.

Individu berkenaan dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan, iaitu anak syarikat badan berkanun berkenaan antara 2015 hingga 2017.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di SPRM malam kelmarin.

BACA JUGA Baru menang sudah berebut jawatan, syor Timbalan Exco bongkar nafsu kuasa di sebalik ‘penyatuan Melayu’