Nahas berulang setiap tahun, format RXZ Members disaran ikut zon
Penganjuran RXZ Members mungkin perlu dinilai semula dan dilaksanakan mengikut negeri atau zon bagi mengurangkan perjalanan jarak jauh serta risiko kemalangan membabitkan peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan susulan angka kemalangan membimbangkan yang sering dikaitkan dengan perjalanan peserta menuju atau pulang daripada acara tersebut.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah dengan penganjuran RXZ Members, malah memahami sambutan luar biasa terhadap program itu kerana dirinya juga seorang peminat aktiviti bermotosikal.
“Jujurnya, saya tidak mempunyai masalah dengan penganjuran program RXZ Members.
“Saya sendiri kaki ride, selalu lepak dengan geng motosikal, jadi saya faham mengapa program seperti ini mendapat sambutan yang begitu besar,” katanya.
Danial berkata, pihak penganjur dan agensi penguat kuasa dipercayai telah berkali-kali mengingatkan peserta mengenai keselamatan serta melaksanakan kawalan di lokasi program.
Bagaimanapun, katanya, nahas yang berlaku ketika peserta sedang menuju ke lokasi atau dalam perjalanan pulang menunjukkan terdapat beberapa perkara yang perlu difikirkan secara bersama.
Beliau menegaskan isu tersebut tidak harus dipolitikkan atau dijadikan alasan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak kerana penunggang yang menyertai program itu datang daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai corak tunggangan berbeza.
“Ada yang mematuhi undang-undang, ada juga yang sebaliknya. Tanggungjawab keselamatan tetap terletak pada setiap individu,” katanya.
Namun begitu, Danial mempersoalkan sama ada format penganjuran secara besar-besaran di satu lokasi masih menjadi pendekatan terbaik sekiranya kemalangan membabitkan perjalanan peserta terus mencatatkan angka membimbangkan setiap tahun.
Kemalangan maut
Untuk rekod, dalam tempoh 30 Julai hingga 2 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 46 nahas jalan raya membabitkan penunggang motosikal sepanjang empat hari penganjuran Program RXZ Members 8.0 termasuk 11 kemalangan maut.
Daripada keseluruhan kes, 11 atau 23.91 peratus membabitkan kemalangan maut, lima kes (10.87 peratus) kemalangan parah dan 30 kes (65.22 peratus) kemalangan ringan.
Mengulas lanjut, Danial mencadangkan agar program berkenaan dianjurkan mengikut peringkat negeri atau zon bagi membolehkan peserta menghadiri acara yang lebih dekat dengan tempat tinggal masing-masing.
Menurutnya, kaedah tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan jarak perjalanan, malah mampu meminimumkan risiko perjalanan jauh tanpa menafikan peluang peminat motosikal untuk menyertai program berkenaan.
“Dengan itu, jarak perjalanan dapat dikurangkan, risiko perjalanan jauh dapat diminimumkan dan lebih ramai rider masih dapat menyertai program dalam keadaan yang lebih selamat,” katanya.
Dalam masa sama, Danial berkata, jika RXZ Members benar-benar akan berakhir selepas penganjuran edisi ke-10, beliau berharap masih berpeluang menyertai acara tersebut sebelum tirainya ditutup.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan penunggang yang terkorban dalam kemalangan.
BACA JUGA “Jangan putus asa…”, tangisan penduduk sambut kepulangan Anthony Loke ke Chennah