Onn Hafiz tak perlu salahkan KKM, rakyat nak penyelesaian bukan tuding menuding

Datuk Onn Hafiz Ghazi dikritik selepas cuba menyalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu kekurangan jururawat dan kakitangan di hospital-hospital di Johor.

Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain berkata, sebagai Menteri Besar, Onn Hafiz harus tampil membawa penyelesaian, bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan yang dilihat seperti seorang pembangkang yang hanya pandai menuding jari kepada pihak lain.

Beliau berkata, hakikatnya isu kekurangan tenaga kerja kesihatan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan. 

“Menteri Besar sepatutnya menjadi jambatan bagi mempercepatkan penyelesaian melalui perbincangan, penyelarasan dan cadangan yang konstruktif demi kepentingan rakyat Johor.

“Rakyat tidak mahu melihat budaya saling menyalahkan antara agensi atau kerajaan. 

“Apa yang diharapkan ialah kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah, memperjuangkan keperluan negeri dan memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.

Tegas beliau, jika setiap isu hanya dijawab dengan menuding jari kepada pihak lain tanpa disusuli usaha yang konkrit, maka ia tidak mencerminkan ciri-ciri seorang Menteri Besar yang memimpin sebuah negeri.

Jelas beliau, tanggungjawab utama seorang Menteri Besar ialah mencari jalan penyelesaian, bukan mencari pihak untuk dipersalahkan.

AMANAH Johor pada masa sama turut menggesa kerajaan negeri mengemukakan pelan tindakan yang jelas bagi membantu menangani kekurangan tenaga kesihatan di Johor.

Ia termasuk memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam aspek penempatan, kemudahan serta kebajikan petugas kesihatan.

“AMANAH Johor menegaskan bahawa sekiranya Menteri Besar gagal memainkan peranan sebagai pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah rakyat dan hanya terus mengamalkan budaya menyalahkan pihak lain, maka beliau perlu menilai semula keupayaannya memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

BACA JUGA Saya tak mahu layan ‘kenyanyukan seseorang’ – Ahmad Zahid tuju kepada siapa?