Hadiah RM1,000 masuk universiti, 5,000 pelajar Selangor bakal terima manfaat

Lebih ramai anak Selangor dijangka menerima Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) berjumlah RM1,000 mulai tahun depan apabila kerajaan negeri merancang menambah kuota penerima menerusi Belanjawan Selangor 2027.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan itu dibuat susulan peningkatan ketara jumlah permohonan HPIPT sejak dua tahun kebelakangan ini

Berbanding 3,000 penerima sebelum ini, beliau bercadang untuk meningkatkan jumlah penerima kepada 5,000 anak Selangor yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Dapatan kita terutama dua tahun terakhir 2025 dan 2026 jumlah permohonan anak-anak masuk universiti lebih 5,000 orang.

“Justeru kerajaan negeri sedang menilai dengan hasil Selangor yang berpadanan meningkatkan jumlah penerima mungkin boleh mencecah 5,000 hingga 6,000 orang.

“Kita pernah memberikan sumbangan kepada 5,000 orang suatu ketika dulu dan insya-Allah kita akan kembalikan jumlah itu pada tahun hadapan dalam Belanjawan Selangor 2027,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurutnya, selain jumlah penerima, kerajaan negeri turut mengambil kira tempoh permohonan HPIPT bagi memastikan pelajar mempunyai masa mencukupi untuk mengemukakan permohonan selepas menerima pengesahan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, antara perkara yang sering dibangkitkan pemohon ialah tempoh permohonan yang agak singkat sebelum ini, menyebabkan sebahagian pelajar tidak mempunyai ruang masa mencukupi untuk melengkapkan proses permohonan