Kerajaan Perpaduan tetap kukuh hingga akhir penggal walau BN menang dua negeri
Kerajaan Perpaduan diyakini kekal kukuh hingga akhir penggal meskipun Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, perkembangan politik serta bentuk kerjasama di peringkat negeri perlu dilihat secara berasingan daripada persefahaman yang menjadi asas pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Menteri Komunikasi berkenaan berkata, komitmen antara parti-parti yang membentuk kerajaan Persekutuan ketika ini telah dimeterai sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) merangkap Ketua Penerangan PKR itu berkata, perjanjian tersebut akan kekal terpakai sehingga tamat penggal.
“Ia adalah dua perkara yang terpisah kerana untuk di peringkat kerajaan keseluruhan, kita telah menandatangani perjanjian persefahaman seawal sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan itu.
“Ia telah ditandatangani di Putrajaya sebelum sidang pertama Parlimen.
“Jadi, ia adalah sesuatu yang terbentuk dan perjanjian itu terpakai sehingga berubah Parlimen, jadi sehingga akhir penggal.
“Komitmen daripada rakan-rakan (parti dalam Kerajaan Perpaduan) juga sangat jelas.
“Jadi, kita tidak melihat pada apa-apa keadaan yang menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan,” katanya, dipetik BH.
Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kini disokong 151 Ahli Parlimen, terdiri daripada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan serta beberapa parti kecil dan wakil Bebas.
Dalam PRN Johor pada 12 Julai dan Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, BN memperoleh kemenangan besar melalui persefahaman dengan PN.
BACA JUGA Hadiah RM1,000 masuk universiti, 5,000 pelajar Selangor bakal terima manfaat