Prestasi diterajang sentimen, apa formula sekat gelombang politik identiti?
Oleh AZLAN ZAINAL
Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menjelaskan satu dapatan yang begitu menarik tetapi hakikatnya menggusarkan.
Politik yang asalnya bergerak dari idea reformasi iaitu perubahan kembali ke pangkuan identiti.
Membelek buku di rak perpustakaan peribadi, terlihat satu buku bertajuk ‘Identity’ karya Francis Fukuyama.
Buku ini merupakan karya paling relevan untuk memahami politik abad ke-21 khususnya kebangkitan politik identiti, populisme dan krisis demokrasi liberal.
Buku ini juga adalah lanjutan kepada idea-idea yang mula dibentangkan pada perbincangan sebelumnya menerusi buku ‘The End of History and The Last Man’ yang menjelaskan mengapa demokrasi liberal masih bergelut walaupun selepas “berakhirnya sejarah”.
‘Identity’ bukan sekadar buku tentang politik malah menjelaskan satu hakikat yang sering terlepas pandang iaitu manusia tidak hanya lapar kepada ekonomi tetapi juga kepada pengiktirafan.
Tidak dihormati
Apabila seseorang atau sesuatu kelompok merasakan mereka tidak dihormati, tidak didengari atau dipinggirkan mereka akan mencari identiti untuk dipertahankan.
Dari situlah lahir politik kaum, agama, nasionalisme dan pelbagai bentuk populisme.
Ramai menyangka orang mengundi kerana poket, demi kelangsungan hidup sedangkan kini mereka kembali mengundi kerana maruah.
Inti buku ini mudah, tajam, sarat persoalan di mana politik hari ini bukan lagi sekadar perebutan kuasa atau kekayaan tetapi perebutan untuk diiktiraf dan menjadi tuan.
“Tanah ini milik Melayu, kami orang asal yang lain adalah pendatang, jangan besar kepala, sedarlah hidup menumpang”.
Semua konotasi tersebut jelas kedengaran dalam siri kempen, penerangan dan serangan.
Frasa-frasa berbaur provokatif ini bergulir lalu berkembang menjadi sentimen yang dipegang dan naratif yang dipercayai sehingga berjaya mencipta gelombang yang membadai dua negeri ini.
Sebab itu, isu identiti mampu mengatasi logik ekonomi dan fakta. Apabila maruah terasa tercabar, emosi mengatasi rasional, prestasi bukan lagi kata kunci.
Bagi yang punya kesempatan buku ini baik untuk dibaca dan diteliti.
Bagaimana ke depan? Buku ini telah mengingatkan bahawa sebuah negara hanya akan kekal stabil jika rakyat berkongsi identiti kebangsaan yang menyatukan tanpa memadam identiti kaum, agama atau budaya masing-masing.
Jika tidak, demokrasi akan terus menjadi medan persaingan antara kelompok yang masing-masing mahu diiktiraf bukannya bekerjasama. Persefahaman kekal palsu dan saling meragu.
Pastinya atas nama politik, mana-mana parti yang bersama gelombang ini akan berhasil mendapat laba kemenangan yang besar tanpa basa basi dan meranapkan harapan bagi mereka yang bersaing dengan komitmen serta kerja kuat.
Cuma apakah formula untuk menyekat dan meredam ‘gelombang’ ini dan sampai bilakah ia mampu bertahan?
BACA JUGA Kerajaan Perpaduan tetap kukuh hingga akhir penggal walau BN menang dua negeri