21 kerusi kami, jangan usik – BN beri amaran awal, rundingan dengan PN ada hadnya

Barisan Nasional (BN) memberi isyarat paling jelas setakat ini bahawa sebarang kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan sesekali mengorbankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2021.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu diputuskan berdasarkan ketetapan parti bahawa semua kerusi yang dimenangi sebelum ini kekal menjadi hak BN dan tidak akan dikongsi dengan mana-mana parti.

“Kita telah menetapkan bahawa kerusi yang kita menang, kita tidak akan pernah berkongsi kerusi itu dengan mana-mana pihak,” katanya selepas dimaklumkan pendirian tersebut oleh Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurut Zahid, Ab Rauf turut menyatakan iltizam BN Melaka untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu sebagai asas kekuatan parti di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan BN masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti mengenai bentuk kerjasama politik menjelang PRN Melaka.

Namun, kenyataan itu secara tidak langsung menggambarkan bahawa sebarang rundingan, termasuk dengan Perikatan Nasional (PN), tidak akan melibatkan kerusi yang kini berada di bawah penguasaan BN.

Pendirian itu hadir ketika formula kerjasama BN-PN terus menjadi perhatian selepas kedua-dua gabungan berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai agihan kerusi sekiranya kerjasama sama mahu diteruskan di Melaka.

Melaka dijangka menjadi medan ujian penting kepada hubungan BN-PN kerana keadaan politiknya jauh berbeza berbanding Negeri Sembilan.

Pada PRN Melaka 2021, BN mencatat kemenangan besar apabila meraih 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Namun, landskap itu berubah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila BN gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka. Tiga kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), manakala tiga lagi dikuasai PN.

Keputusan tersebut dijangka menjadi antara hujah utama PN sekiranya gabungan itu menuntut agihan kerusi yang lebih besar dalam rundingan menjelang PRN akan datang.

Sebelum ini, Zahid pernah menyatakan bahawa status kerjasama pilihan raya di Melaka masih belum dimuktamadkan dan akan diumumkan kemudian, namun pada masa sama menegaskan rundingan mesti mengelakkan pertindihan kerusi.

Dengan pendirian terbaharu bahawa 21 kerusi milik BN tidak boleh disentuh, ruang rundingan kini dilihat semakin sempit.

Ini bermakna, jika persefahaman BN-PN mahu diteruskan di Melaka, perbincangan dijangka hanya melibatkan baki tujuh kerusi yang bukan dimenangi BN pada PRN 2021, atau memerlukan formula baharu yang dapat diterima kedua-dua pihak.

Kenyataan Zahid itu sekali gus memberi mesej bahawa walaupun BN bersedia berbincang mengenai kerjasama politik, parti itu tidak bersedia berkompromi terhadap kerusi yang dianggap sebagai mandat rakyat dan asas kekuatannya di Melaka.