KPDN perkasa JOM MALAYSIA melalui kerjasama strategik bersama KLFW 2026

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh usaha mengangkat produk tempatan menerusi kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 sebagai sebahagian daripada pelaksanaan gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA). (Gambar: UKK KPDN)

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu merupakan strategi transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang bertujuan menggalakkan rakyat mengutamakan produk tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap import serta meningkatkan daya saing industri dan usahawan Malaysia di pasaran domestik dan antarabangsa.

Menurut beliau, KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade KLCC dari 3 hingga 9 Ogos menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dengan kira-kira 800 rekaan kreatif, selain menampilkan pameran jenama, sesi padanan perniagaan, perkongsian industri serta pelbagai aktiviti libat urus bersama pemain industri fesyen tempatan dan antarabangsa.

“Sebagai platform fesyen paling berprestij di negara ini, KLFW bukan sahaja menjadi pentas kepada pereka tempatan mempamerkan kreativiti dan inovasi, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh penjenamaan produk Malaysia di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, menerusi kerjasama strategik yang merangkumi 28 segmen, KLFW 2026 buat julung kalinya memperkenalkan segmen Fashion Forward Batik Malaysia, yang menampilkan 10 pereka fesyen tempatan dengan 30 rekaan batik kontemporari menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, usaha itu selari dengan perkembangan positif industri budaya dan kreatif negara yang menyumbang sebanyak RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berdasarkan Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Disember 2025.

Armizan berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa kreativiti dan warisan budaya bukan sekadar melambangkan identiti negara, malah menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang semakin penting.

Beliau turut memaklumkan bahawa kejayaan KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti mencecah USD32 juta dijangka mampu menjadi pemangkin kepada peluasan pasaran batik Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa melalui penganjuran tahun ini.

Menurutnya, kerjasama tersebut juga sejajar dengan objektif penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bagi memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan dalam meningkatkan jualan domestik serta eksport produk tempatan.

Beliau berkata, kejayaan agenda memperkasa produk Malaysia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk pemain industri, sektor swasta dan agensi kerajaan melalui pendekatan kolaboratif yang mampu memperkukuh ekosistem produk tempatan secara menyeluruh.

KPDN akan terus memperluaskan kerjasama bersama pelbagai rakan strategik menerusi JOM MALAYSIA bagi memastikan produk Malaysia kekal mampan, berdaya saing dan terus mendapat tempat di pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya.