Prosiding Ismail Sabri mungkin di katil IJN

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini, dilaporkan kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Prosiding pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri berusia 66 tahun itu berkemungkinan dipindahkan ke IJN, bergantung kepada nasihat doktor.

“Ia bergantung kepada nasihat doktor,” kata lapor The Star, memetik sumber yang rapat dengan kes itu.

Sementara itu, satu lagi sumber yang dekat dengan Ismail Sabri memberitahu kepada akhbar itu bahawa pengakuan tertuduh dijangka direkodkan di IJN.

Namun, katanya, waktu prosiding masih belum dapat dipastikan.

“Buat masa ini, pihak pendakwaan perlu mengemukakan permohonan supaya prosiding pengakuan dijalankan di IJN, namun keputusan akhir tertakluk kepada hakim,” menurut sumber itu.

Untuk rekod, sehingga 7 Mei 2025, Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Bera dilaporkan sudah menjalani sekurang-kurangnya 10 sesi soal siasat dengan SPRM.

Pada 2 Mac 2025, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.

Sebanyak 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta turut disita.

Rampasan tersebut berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap ayah kepada penyanyi dan pelakon, Dafi itu.

Hasil rampasan itu diperoleh semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ selepas siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

BACA JUGA Selepas 10 kali dipanggil SPRM, Ismail Sabri akhirnya ke mahkamah pagi ini