Tuanku Muhriz iktiraf pencapaian pentadbiran Aminuddin, titah kerajaan baharu teruskan kecemerlangan

Kejayaan pentadbiran yang ditunjukkan kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun mendapat pengiktirafan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam ucapan baginda sempena Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, baginda berpesan supaya kerajaan negeri baharu yang dibentuk, meneruskan kecemerlangan kerajaan dahulu khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti.

“Beta berpesan agar kamu semua meneruskan kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh kerajaan terdahulu, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti, meningkatkan hasil pendapatan negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada rakyat.

“Sebahagian daripada kamu juga pernah menganggotai kerajaan terdahulu dan sedia maklum akan kejayaan yang telah dicapai,” titah baginda.

Baginda bertitah, Negeri Sembilan telah mencatatkan rekod pelaburan yang tinggi serta peningkatan hasil negeri yang amat membanggakan. 

Pencapaian ini titah baginda, hendaklah dipertahankan, diperkukuhkan dan terus dipertingkatkan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

“Pada masa yang sama, segala kelemahan yang masih wujud hendaklah dikenal pasti dan ditambah baik secara berterusan bagi memastikan pentadbiran negeri sentiasa berada pada tahap yang cemerlang, berintegriti dan berkesan.

“Beta berdoa semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat, petunjuk dan perlindungan-Nya kepada kita semua,” titah baginda.