Terkini DJ Ismahalil dipenjara 30 tahun mulai hari ini
Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah atas pertuduhan mengedar dadah lima tahun lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan hari ini.
Panel sebulat suara menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ismahalil, 53, yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 2023.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin bersama-sama dua lagi hakim Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.
Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Radzi, mahkamah mendapati terdapat alasan yang cukup bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan Hakim Mahkamah Tinggi di akhir kes pembelaan.
“Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden (Ismahalil) dari pertuduhan,” katanya.
Hakim berkata, pihaknya mendapati responden (pihak pembelaan Ismahalil) gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya
Sebelum ini pada 17 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ismahalil selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pada pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.