Belum sempat dua minit, KA ‘sapu’ jualan RM2 juta, bersiaran pula dari Menara Merdeka Maybank

Belum sempat dua minit bersiaran, pempengaruh dan usahawan terkenal Khairul Aming (KA) sudah ‘menyapu’ jualan RM2 juta menerusi pelancaran produk terbaharunya di TikTok, malam tadi.

Beliau berkongsi pencapaian menakjubkan itu menerusi sesi TikTok Live di akaun tiktokshop_my yang berlangsung dari Menara Merdeka Maybank, lokasi pelancaran produk baharunya, Sambal Nyet Bilis.

Lebih menarik perhatian orang ramai, produk pemuda berasal dari Kelantan berusia 33 tahun berkenaan dilaporkan habis dijual dalam tempoh kira-kira seminit.

Sementara itu, siaran langsung itu pula diserbu hampir 400,000 penonton iaitu kira-kira empat kali ganda berbanding sekitar 100,000 penonton yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Kejayaan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat (AS) itu turut memecahkan rekod jualan peribadi beliau.

Lokasi pengumuman pencapaian itu di bangunan kedua tertinggi di dunia tersebut juga menjadi simbolik terhadap kejayaan jenama tempatan yang dibangunkan daripada platform media sosial.

TikTok Live berkenaan turut meraih lebih 100 juta ‘likes’.

Selain Sambal Nyet Bilis, turut dijual pada program kali ini ialah Rendang Nyet Berapi, Dendeng Nyet Ekstra Pedas, Oriental Kopi Putih Premium dan Cosmetic Nely.

Kesemua jualan itu mencatat jualan lebih RM3.5 juta secara keseluruhan.

BACA JUGA ‘Berniaga apa macam ini?’ – PM persoal hasrat Felda jual aset di bawah nilai belian