Kalau DAP mahu hapus Melayu-Islam, apa yang sudah dihapus? Tuduhan Hadi tanpa bukti

Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya DAP meneruskan agenda penjajah untuk menghapuskan Melayu dan Islam hanya campuran antara fakta sejarah, tafsiran politik dan tuduhan yang belum dibuktikan.

Pemerhati politik Norman Daud berpendapat sejarah penjajahan British serta hubungan sejarah antara PAP di Singapura dengan DAP tidak boleh disambungkan secara mudah sehingga menghasilkan gambaran seolah-olah wujud satu rangkaian berterusan daripada British kepada PAP, DAP dan seterusnya Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, konteks sejarah Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu juga perlu dibezakan dengan jelas kerana ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Singapura masih merupakan koloni British yang berasingan sebelum menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.

Norman kemudian mengemukakan persoalan paling mudah terhadap dakwaan bahawa DAP kini mempunyai kuasa untuk menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Katanya, selepas hampir tiga tahun Kerajaan Perpaduan, Islam masih kekal sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan, institusi Raja-raja Melayu terus dipertahankan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan masih berkuat kuasa.

Malah, katanya, institusi berkaitan Islam termasuk Mahkamah Syariah, jabatan agama, sekolah agama, universiti Islam, sistem zakat, urusan haji dan perbankan Islam terus berfungsi dan berkembang.

Bukti khusus

Justeru, Norman berkata, dakwaan DAP sedang “menghapuskan Melayu dan Islam” perlu mengemukakan bukti khusus mengenai perkara yang telah dihapuskan, termasuk undang-undang, keputusan Kabinet, Hansard Parlimen atau peruntukan yang didakwa dimansuhkan.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa DAP menguasai keseluruhan pentadbiran Persekutuan dengan mengingatkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Presiden PKR, manakala Kerajaan Perpaduan turut merangkumi BN, GPS, GRS, AMANAH, UPKO serta parti lain.

Norman bagaimanapun mengakui DAP dan Pas mempunyai perbezaan politik yang ketara dalam isu sekularisme, negara Islam serta hubungan agama dengan negara.

Namun, beliau menegaskan perbezaan itu tidak dengan sendirinya menjadi bukti bahawa DAP menjalankan “agenda penjajah” untuk menghapuskan Islam.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan supaya ayat al-Quran tidak digunakan secara sewenang-wenangnya bagi meletakkan lawan politik sebagai musuh agama kerana pendekatan sedemikian berisiko menjadikan politik sebagai perang identiti.

Tegasnya, umat Melayu sememangnya perlu mempertahankan agama, bahasa, budaya serta kedudukan yang dijamin Perlembagaan, namun usaha tersebut tidak sepatutnya dilakukan dengan mewujudkan ketakutan terhadap setiap perbezaan politik atau kaum.

Jika benar terdapat dasar kerajaan yang merugikan Melayu atau melemahkan Islam, kata Norman, ia wajar dikritik berdasarkan bukti dan dokumen, bukannya dengan menghubungkan sejarah penjajahan British secara terus kepada DAP tanpa asas yang boleh dibuktikan.

BACA JUGA Hadi tuduh DAP sambung kerja penjajah ‘hapus Melayu Islam’ walau dulu pernah bersama DAP