Presiden Pas dicabar bawa bukti ke mahkamah jika benar DAP ancam Melayu-Islam
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu mencabar Pas dan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya membawa bukti ke mahkamah sekiranya benar PH, khususnya DAP, mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam.
Menurutnya, tuduhan sebesar itu tidak seharusnya sekadar dimainkan dalam ceramah, kuliah atau kenyataan politik bagi membakar emosi rakyat tanpa pembuktian melalui saluran undang-undang yang sah.
“Jika benar terdapat bukti bahawa DAP dan PH mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam, mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan, atau menjalankan usaha menentang asas negara ini, bawalah bukti tersebut ke mahkamah,” katanya.
Aiman berkata, Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan, sistem kehakiman, undang-undang keselamatan serta institusi penguatkuasaan yang boleh digunakan sekiranya benar terdapat mana-mana parti melakukan tindakan bertentangan dengan Perlembagaan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Pas tidak mengambil tindakan terhadap DAP ketika parti itu pernah berada dalam kerajaan Persekutuan jika ancaman yang didakwa selama ini benar-benar wujud.
Lebih mengundang persoalan, katanya, Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP menerusi beberapa fasa politik termasuk Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Terdahulu, Abdul Hadi menerusi Minda Presiden Pas hari ini menyerang keras DAP dengan menuduh parti roket itu memimpin PH untuk menyambung kerja penjajah yang bertujuan melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.
Hadi turut mendakwa DAP mendominasi PH, manakala pemimpin Melayu daripada PKR dan AMANAH menjadi pihak yang mempertahankan parti tersebut.
Mengulas lanjut, Aiman yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional mempersoalkan sama ada dakwaan mengenai ancaman DAP itu benar-benar konsisten atau berubah mengikut kepentingan politik semasa.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya Islam tidak dijadikan alat untuk menanam permusuhan dengan melabel pihak yang berbeza pandangan sebagai musuh agama, bangsa atau alat penjajah tanpa bukti kukuh.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata, pendekatan yang melampaui batas, budaya mudah menghukum dan politik kebencian bukan sahaja boleh memecahkan masyarakat, malah bercanggah dengan nilai keadilan, ilmu dan akhlak yang dituntut Islam.
Melemahkan umat
Aiman turut memberi amaran bahawa politik yang sentiasa membahagikan masyarakat kepada kelompok “kami yang benar” dan “mereka musuh” akhirnya hanya melemahkan umat serta mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar rakyat.
Menurutnya, mempertahankan Melayu dan Islam tidak memerlukan fitnah atau kebencian terhadap kaum lain, sebaliknya kekuatan umat perlu dibina melalui amanah, ilmu, keadilan, akhlak dan kasih sayang.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sekali lagi mengulangi cabarannya kepada kepimpinan Pas supaya mengemukakan bukti melalui institusi negara sekiranya benar dakwaan berkenaan mempunyai asas.
“Bawa ke mahkamah. Bawa kepada institusi negara. Bawa bersama bukti,” tegasnya yang merupakan bekas ahli Pas selama 25 tahun sebelum menyertai AMANAH pada 2015.
Beliau menegaskan perjuangan Islam seharusnya membina masyarakat, membawa rahmah dan menegakkan keadilan, bukannya menjadikan tuduhan yang tidak dibuktikan sebagai senjata politik.
BACA JUGA Hadi tuduh DAP sambung kerja penjajah ‘hapus Melayu Islam’ walau dulu pernah bersama DAP