Bukan sekadar bantuan kebajikan, JKM Selangor buka Laluan kerjaya buat anak penerima bantuan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Karnival Aspirasi Kerjaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor yang dirasmikan oleh YB Puan Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di Lily Hall, Tingkat 7, Bangunan IDCC, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. 8hb Ogos 2026 (Sabtu)

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor menyasarkan anak-anak penerima bantuan kebajikan berusia 16 tahun ke atas untuk diberi akses kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan sebagai usaha memutuskan rantaian kemiskinan dalam kalangan keluarga penerima bantuan. EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Puan Anfaal Saari berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Program Karnival Aspirasi Kerjaya JKM Negeri Selangor yang menjadi platform strategik bagi memadankan anak-anak penerima bantuan dengan institusi latihan serta syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan.

Menurutnya, pendekatan tersebut tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek kebajikan semata-mata, sebaliknya memberi peluang kepada generasi seterusnya untuk membina kehidupan yang lebih berdikari melalui pendidikan dan kemahiran. “Bila kita melihat peluang untuk memecahkan kitaran tersebut dengan menjadikan peluang kepada anak-anak ini untuk mempunyai kehidupan yang berdikari, kita berikan akses kepada pendidikan, latihan dan kemahiran serta peluang pekerjaan berkualiti.

“Melalui program ini, kita bukan sahaja bercakap tentang bantuan kebajikan tetapi kemahiran, supaya kita dapat padankan mereka dengan syarikat yang menawarkan latihan, akademi dan peluang pekerjaan, malah kebanyakannya secara percuma serta menyediakan elaun,” katanya. Anfaal berkata, sehingga Julai 2026, pangkalan data JKM Negeri Selangor merekodkan seramai 59,064 penerima bantuan, namun program itu tidak menyasarkan keseluruhan penerima berkenaan.

Sebaliknya, katanya, fokus diberikan kepada keluarga penerima bantuan yang mempunyai anak berusia 16 tahun ke atas yang berpotensi mengikuti latihan kemahiran sebelum diserap ke dalam sektor pekerjaan. “Kita tidak menumpukan kepada 59,000 penerima bantuan itu. Daripada data penerima yang pelbagai, termasuk warga emas dan kategori miskin, kita tumpukan kepada keluarga yang mempunyai anak berumur 16 tahun ke atas.

“Kita mahu anak-anak ini memperoleh kemahiran, bergraduasi dan kemudian ditempatkan dalam industri supaya pendapatan mereka dapat membantu keluarga keluar daripada tahap yang melayakkan mereka menerima bantuan,” katanya. Menurutnya, pendekatan berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik, termasuk Selangor Technical Development Centre (STDC), Akademi Golf Belia Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta institusi pembiayaan kemahiran.

“Kita mahu anak-anak ini memperoleh kemahiran, bergraduasi dan kemudian ditempatkan dalam industri supaya pendapatan mereka dapat membantu keluarga keluar daripada tahap yang melayakkan mereka menerima bantuan,” katanya. Menurutnya, pendekatan berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik, termasuk Selangor Technical Development Centre (STDC), Akademi Golf Belia Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta institusi pembiayaan kemahiran.

Anfaal berkata, menerusi pendekatan itu, JKM dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kebajikan dalam jangka panjang dengan memberi peluang kepada generasi muda daripada keluarga penerima bantuan untuk memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang lebih stabil. Beliau berkata, pemantauan terhadap peserta turut akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan mereka bukan sahaja mengikuti latihan, malah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan selepas tamat latihan.

“Untuk hari ini, kita cuba menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada anak-anak ini untuk ditempatkan dengan agensi dan institusi latihan yang kita bawa bersama. “Kita akan buat pemantauan secara berterusan bagi memastikan mereka dapat menyelesaikan latihan sehingga mendapat pekerjaan nanti,” katanya.

Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang itu turut menyediakan sesi pitching antara institusi latihan dengan peserta bagi membolehkan mereka mendapatkan penerangan secara terus dan membuat pendaftaran berdasarkan minat serta kesesuaian masing-masing. Anfaal berkata, peluang latihan dan pekerjaan yang ditawarkan bukan bermakna semua peserta diwajibkan menyertai program tertentu, sebaliknya keputusan bergantung kepada minat, kesanggupan dan kesungguhan mereka.

Katanya, pihak penganjur pada asasnya sudah menyediakan ruang dan peluang kepada peserta menerusi institusi serta agensi yang hadir. “Peluang di Selangor dan melalui agensi kerajaan sangat luas. Apa yang membezakan antara seseorang dengan yang lain adalah keinginan, kemahuan dan kesungguhan.

Kita bukan sahaja memadankan mereka dengan peluang, tetapi memberikan motivasi dan anjakan pemikiran. Dengan semangat itu, kita boleh membantu mereka berubah daripada penerima kebajikan secara berterusan kepada golongan yang lebih mandiri dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya.