Anwar puji tindakan pantas AKPS, pertegas Malaysia bukan laluan sokong kekejaman rejim Zionis

Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji tindakan pantas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor, yang disyaki membawa dagangan strategik untuk dieksport ke Israel.

Perdana Menteri menegaskan tindakan itu membuktikan Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijadikan laluan kepada sebarang bentuk perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Tahniah AKPS atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Tindakan ini membuktikan ketegasan Malaysia untuk memastikan negara kita tidak sekali-kali menjadi laluan kepada dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyataan di media sosial beliau malam ini.

Beliau berkata, tindakan AKPS itu turut selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Kumpulan The Hague serta larangan yang berkuat kuasa sejak Disember 2023 terhadap kapal Israel dan kapal yang membawa muatan ke Israel daripada menggunakan pelabuhan negara.

“Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin,” katanya.

Maklumat risikan

Terdahulu, AKPS memaklumkan sebuah kontena di PTP ditahan dan diperiksa semalam susulan maklumat risikan yang diterima.

Semakan awal AKPS mendapati penghantaran terbabit disyaki tidak mematuhi Item No. 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang melarang pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar kerajaan.

AKPS berkata siasatan lanjut akan dijalankan bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.

Siasatan juga akan menentukan sama ada muatan tersebut tergolong sebagai barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 dan perundangan subsidiari berkaitan.

Agensi itu menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan serta undang-undang negara berkaitan Israel, termasuk cubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke negara berkenaan.

BACA JUGA Kalau DAP mahu hapus Melayu-Islam, apa yang sudah dihapus? Tuduhan Hadi tanpa bukti