PH Pulau Pinang kekalkan Exco BN

Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memutuskan untuk mengekalkan wakil Barisan Nasional (BN) dalam barisan Exco kerajaan negeri, meskipun BN kini bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.

Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat pimpinan PH Pulau Pinang semalam dengan Rashidi Zinol yang juga Adun Sungai Acheh, terus memegang portfolio pembangunan luar bandar, agroteknologi, keterjaminan makanan dan keusahawanan.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pakatan pilihan raya yang dicapai antara PH dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

“Ini selaras dengan pakatan pilihan raya yang dibuat pada PRN 2023,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Pulau Pinang.

Menurut Chow, pendirian itu turut mengambil kira komitmen Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, bahawa BN akan terus menyokong kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan sehingga tamat penggal.

Keputusan PH Pulau Pinang itu dibuat ketika hubungan antara PH dan BN semakin menjadi perhatian susulan perkembangan politik di beberapa negeri.

Pada PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, PH mengalami kekalahan, manakala PN memberi laluan kepada BN di beberapa kerusi di Johor.

Di Negeri Sembilan pula, BN dan PN memilih untuk bekerjasama dalam menghadapi PH.

Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan mengenai masa depan kerjasama PH-BN di negeri-negeri yang membentuk kerajaan bersama.

Sebelum itu, Penasihat DAP Lim Guan Eng menggesa PH Pulau Pinang supaya “bertindak dengan tegas” susulan perkembangan terbaru itu, khususnya selepas PN dan Umno dilihat semakin rapat di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, PH Pulau Pinang memilih untuk mengekalkan susunan kerajaan negeri sedia ada, termasuk kedudukan wakil BN dalam barisan Exco.

BACA JUGA Anwar puji tindakan pantas AKPS, pertegas Malaysia bukan laluan sokong kekejaman rejim Zionis