Bukan 5,000, tapi 500,000 kerja gaji tinggi bakal muncul menjelang 2030

Sebanyak 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dijangka tersedia untuk rakyat Malaysia menjelang 2030 susulan perkembangan ekonomi digital negara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, perkembangan ekonomi digital bukan sekadar membuka peluang pekerjaan baharu, malah berpotensi memberi manfaat lebih luas kepada rakyat sekiranya jurang digital dapat dirapatkan.

Menurutnya, peluang dalam ekonomi digital perlu dipastikan sampai kepada setiap lapisan masyarakat supaya rakyat tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu mengambil bahagian dalam pertumbuhan sektor berkenaan.

“500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi menanti rakyat Malaysia menjelang tahun 2030.

“Ini antara impak terbesar ekonomi digital yang makmur nanti, dan bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mampu menikmati manfaatnya, jurang digital harus kita rapatkan, dan peluang digital mesti sampai kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Gobind berkata, usaha berkenaan turut diterjemahkan menerusi Jelajah Malaysia Digital (JMD) yang bertujuan membawa agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) lebih dekat kepada rakyat.

Katanya, JMD menyediakan ruang untuk masyarakat meneroka pelbagai peluang berkaitan kemahiran digital, kerjaya dan keusahawanan, sekali gus membantu mereka meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital.

“Di sinilah pentingnya Jelajah Malaysia Digital. JMD mendekatkan hala tuju besar Malaysia Digital 2030 kepada rakyat, menerusi pelbagai peluang keemasan untuk meneroka kemahiran, kerjaya dan peluang keusahawanan,” katanya.

Menariknya, edisi JMD yang akan datang berlangsung di Damansara Damai, kawasan Parlimen P106 Damansara yang diwakili Gobind.

Beliau menyifatkan penganjuran itu sebagai titik permulaan kepada lebih banyak siri jelajah yang akan membawa agenda pendigitalan negara lebih dekat kepada masyarakat di seluruh negara.

“JMD edisi Damansara Damai bakal menjadi titik permulaan untuk lebih banyak siri jelajah yang akan membawakan manifestasi Malaysia sebagai sebuah negara digital yang aman, makmur dan inklusif untuk semua,” katanya.

Gobind turut menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil peluang yang disediakan bagi mempersiapkan diri menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan ekonomi yang semakin dipacu teknologi.

“Ayuh rakyat Malaysia, bersama-sama kita mara menuju masa depan yang lebih gemilang bersama!” katanya.

BACA JUGA PH Pulau Pinang kekalkan Exco BN