Bukan pindaan biasa: Selangor letak Mahkamah Syariah lebih kukuh dalam undang-undang negeri

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyifatkan kelulusan tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan pentadbiran Islam dan kehakiman syariah oleh Dewan Negeri Selangor sebagai langkah besar memperkukuh institusi agama di negeri itu.

Tiga undang-undang yang diluluskan antara 4 hingga 6 Ogos lalu ialah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 dan Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026.

Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, kelulusan itu merupakan agenda penting yang diusulkan bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memperkemas pentadbiran agama Islam, malah memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan diyakini masyarakat.

“MAIS mengharapkan undang-undang ini mampu memberikan manfaat besar kepada masyarakat Islam, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pentadbiran agama Islam dan sistem kehakiman Syariah di Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Salehuddin berkata, pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 2026 memperjelaskan bahawa agama Islam di negeri itu berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang diamalkan sejak sekian lama.

Katanya, pindaan tersebut turut memperuntukkan secara khusus penubuhan Mahkamah Syariah dalam undang-undang tertinggi negeri.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana kedudukan Mahkamah Syariah kini diperjelas pada peringkat perlembagaan negeri, bukan sekadar melalui enakmen biasa.

Pindaan tersebut turut disokong Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 yang mengawal selia penubuhan, struktur, bidang kuasa dan pentadbiran mahkamah syariah.

Mahkamah Utama Syariah jadi mahkamah tertinggi

Menurut Salehuddin, struktur baharu Mahkamah Syariah Selangor akan melibatkan empat peringkat.

Ia terdiri daripada Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tertinggi, diikuti Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

Beliau berkata, struktur itu bertujuan memperkukuh sistem kehakiman syariah supaya lebih tersusun, jelas dan diyakini masyarakat.

“Kedua-dua undang-undang ini memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan diyakini masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 pula bertujuan memperkukuh kerangka pentadbiran agama Islam melalui punca kuasa statutori yang lebih jelas kepada MAIS.

Melalui pindaan itu, MAIS boleh melaksanakan perkhidmatan bantuan guaman dan pengantaraan, penulisan wasiat dan hibah serta bantuan lain bagi menyokong kesejahteraan masyarakat Islam di Selangor.

Pindaan itu juga memberi kuasa lebih jelas kepada MAIS dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka orang Islam.

Menurut Salehuddin, langkah tersebut penting bagi membantu menyelesaikan isu harta pusaka beku yang sering membebankan waris dan keluarga Islam.

Katanya, peruntukan itu turut menyokong pelaksanaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022, selain menyelaraskan tatacara pembuatan fatwa membabitkan isu nasional.

Salehuddin berkata, usaha mengusulkan ketiga-tiga undang-undang itu membuktikan komitmen berterusan MAIS, kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memperkasa pentadbiran agama Islam di Selangor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negeri yang membahaskan rang undang-undang tersebut dengan teliti dan profesional.

Penghargaan turut diberikan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Mufti Selangor, barisan kepimpinan dan Jawatankuasa Undang-Undang MAIS, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor serta pegawai MAIS, JAKESS, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.

Salehuddin berkata, MAIS akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan ketiga-tiga undang-undang itu berjalan secara berkesan.

Katanya, pelaksanaan undang-undang itu penting bagi memperkukuh pentadbiran agama Islam serta meningkatkan penyampaian keadilan syariah di Selangor.

BACA JUGA “Nak hapus Melayu Islam?” DAP Penang jawab Pas dengan rekod khidmat