Amirudin adikku, Ng Suee Lim sahabatku, Gunaraj temanku, kata Azmin di DUN Selangor

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencuri perhatian persidangan apabila menyifatkan beberapa pemimpin kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai “adinda”, “sahabat” dan “teman”.

Dalam nada yang lebih lunak ketika menyampaikan perbahasan, Azmin menggelarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai “adindaku”, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim sebagai “sahabatku” dan ADUN Sentosa Gunaraj R George sebagai “temanku”.

“Amirudin adalah adindaku. Ng Suee Lim adalah sahabatku. Gunaraj R George adalah temanku. Amanah adalah peganganku. Kekal tenang adalah prinsip aku,” katanya pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Azmin yang juga Setiausaha Agung Bersatu kemudian menyeru Amirudin supaya tidak “gundah-gulana” dalam meneruskan tanggungjawab membangunkan Selangor.

“Wahai Menteri Besar, jangan gundah-gulana. Jangan benarkan fahaman ini bertapak di negeri Selangor. Teruskan langkahmu untuk membangun negeri Selangor. Anda tidak berseorangan. I’m always here for Selangor,” katanya.

Namun, di sebalik nada persahabatan itu, Azmin turut melontarkan kritikan terhadap kumpulan yang menurutnya sering melaungkan penyatuan dan ketuanan Melayu tetapi pada masa sama didakwa bertanggungjawab terhadap kemerosotan beberapa institusi Melayu.

Beliau mendakwa kumpulan berkenaan tidak wajar mendapat sokongan kerana dikaitkan dengan kejatuhan atau kemerosotan institusi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), selain skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Azmin tidak menamakan secara khusus mana-mana parti atau gabungan politik ketika membuat dakwaan berkenaan.

Katanya, keadaan politik menjadi lebih membimbangkan apabila wujud kumpulan yang didakwanya menghalalkan kleptokrasi dan mempertahankan kebobrokan atas nama penyatuan Melayu.

“Keadaan politik bertambah gila apabila ada kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baharu. Ini adalah proses memperbodohkan rakyat keseluruhannya atas nama penyatuan Melayu kononnya,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin berkata Selangor perlu meneruskan pembangunan berasaskan penyatuan yang membawa kemajuan serta memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi yang berkesan antara kerajaan negeri dengan rakyat supaya dasar dan pencapaian kerajaan dapat difahami dengan lebih jelas.

Azmin mencadangkan aspek penerangan serta unit media kerajaan negeri diperkasakan bagi memastikan maklumat mengenai dasar kerajaan disampaikan dengan tepat kepada rakyat.

“Komunikasi yang betul dan tepat penting untuk rakyat memahami dan menerima dasar baik kerajaan negeri. Tingkatkan penerangan dan unit media kerajaan negeri.

“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita, negeri Selangor yang maju dan makmur,” katanya.

BACA JUGA Tuanku Muhriz ‘terlucut’? DKU masuk gelanggang, cabar asas saman dan pertikai kesahihan pengisytiharan