Bila Jalur Gemilang ‘terbalik’, Akmal turun padang; bila bulan bintang hilang, kenapa sunyi?
DAP Shah Alam mempersoalkan sikap pihak tertentu yang lantang memperjuangkan maruah Jalur Gemilang dalam satu insiden di Kepala Batas tahun lalu.
Namun, pihak terbabit tidak menunjukkan reaksi sama terhadap kes bendera yang dipasang tanpa bulan dan bintang di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Pengerusi DAP Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer, berkata perbezaan reaksi terhadap kedua-dua insiden itu menimbulkan persoalan sama ada isu berkaitan lambang negara dipandang berdasarkan prinsip atau kepentingan politik.
Beliau berkata, kira-kira setahun lalu, sebuah video tular di Kepala Batas memaparkan seorang pekerja memasang Jalur Gemilang, namun klip yang dipotong menyebabkan bendera berkenaan disalah anggap dipasang secara terbalik.
Menurutnya, insiden itu kemudiannya dieksploitasi secara agresif sehingga Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, hadir bersama beberapa rakan politik dan mencetuskan konfrontasi.
“Akibatnya, timbul ketakutan dalam kalangan rakyat biasa untuk mengibarkan bendera kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Shakir mendakwa insiden berkenaan menjadi antara contoh bagaimana isu berkaitan simbol negara boleh dieksploitasi sehingga mencetuskan sentimen dalam kalangan masyarakat.
“Jika diteliti, di sinilah bermulanya budaya ‘politik sentimen’ yang meracuni masyarakat kita hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan berbeza berlaku minggu lalu apabila sebuah Jalur Gemilang yang didakwa tidak mempunyai bulan dan bintang dilaporkan berkibar di Kuala Terengganu.
Menurut Shakir, keadaan itu sepatutnya turut mendapat perhatian serius kerana bulan dan bintang merupakan antara unsur penting pada Jalur Gemilang.
Namun, katanya, tiada tindakan atau protes terbuka seperti yang berlaku dalam insiden Kepala Batas sebelum ini.
“Tiada serbuan. Tiada protes jalanan. Sebaliknya, ia disenyapkan begitu saja sebagai ‘kes terpencil’,” katanya.
Keadaan itu, dakwanya, menimbulkan persoalan mengenai pendirian mereka yang sebelum ini tampil sebagai pembela maruah Jalur Gemilang.
“Di sinilah letaknya hipokrasi yang ketara: di manakah semangat ‘pejuang bangsa’ apabila maruah bendera dicabar di tempat yang tidak memberi pulangan politik?” katanya.
Shakir turut mempersoalkan sama ada isu patriotisme dan nasionalisme kini hanya diberikan perhatian apabila ia mempunyai nilai politik dan berpotensi mempengaruhi sokongan pengundi.
“Adakah nasionalisme kini hanya bernilai jika ia mendatangkan keuntungan undi?” soalnya.
Beliau berkata rakyat tidak seharusnya membiarkan isu simbol negara terus dijadikan alat untuk mencetuskan ketakutan, permusuhan atau perpecahan antara masyarakat.
Menurutnya, ukuran terhadap kecintaan kepada negara sepatutnya dibuat berdasarkan prinsip yang konsisten dan tidak memilih lokasi, kelompok atau pihak politik.
“Rakyat Malaysia tidak boleh terus menutup mata. Inilah cermin paling jelas untuk menilai sama ada perjuangan mereka berpaksikan maruah negara, atau sekadar wayang bermuka-muka,” katanya.
Shakir menegaskan bahawa penghormatan terhadap Jalur Gemilang seharusnya menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
BACA JUGA Nak bahas PMX atau Tabung Haji? Anwar tempelak PN ‘main drama’