Dulu Akmal ‘mengamuk’ bendera terbalik, kini bulan bintang hilang di Terengganu pula

Oleh NUR HADI MOHAMAD

Anda tahu tak sebab apa apabila ada kes bendera terbalik, salah cetak, salah corak atau cacat, orang ramai akan ‘petik’ Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh?

Sebab Akmal Saleh yang mula meletakkan satu parameter, apabila berlaku isu, dia dengan pemuda-pemuda IQ rendah dia pergi berhimpun ramai-ramai di Pulau Pinang tahun lepas.

Tapi kalau anda adalah orang yang berfikir secara matang dan sihat, silakan baca tulisan panjang lebar saya ini. Perkara ini saya pernah tulis dalam kolum.

Pertama kita di sekolah ada belajar tajuk ‘Kebarangkalian’ dalam mata pelajaran Matematik.

Daripada jutaan bendera Malaysia yang dikibarkan sempena bulan kebangsaan setiap tahun, berapa insiden ia dipasang secara salah atau terbalik atau cacat?

Ya, secara hipotesisnya, semakin banyak bendera dipasang, maka semakin tinggi jumlah kemungkinan tersebut.

Kenapa berlaku kesilapan? Kemungkinannya dua sahaja. Sengaja atau tak disengajakan.

Adakah benar-benar suatu provokasi atau hanyalah kesilapan dan kecuaian manusia?

Dalam situasi tu, kita ada dua pilihan – meluruskan keadaan dengan akal atau membengkokkan situasi dengan emosi.

Ya betul, bendera bukan sekadar kain berwarna. Bendera adalah simbol negara, lambang kedaulatan dan maruah bangsa. Jalur Gemilang dijulang megah sebagai tanda cinta dan bangga terhadap tanah air.

Beberapa episod bendera terbalik akhir-akhir ini menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

Naratif pengkhianatan

Pernah di Pontian, bendera di sebuah premis kecil dipasang terbalik. Pernah juga di Port Dickson, seorang individu orang kurang upaya (OKU) menaikkan bendera secara salah.

Kemudian di Kepala Batas, seorang peniaga ditahan selepas mengibarkan bendera terbalik di hadapan premisnya.

Dalam dunia serba digital, gambar bendera salah pun boleh berlaku disebabkan kebergantungan pada kecerdasan buatan (AI).

Di sebalik insiden-insiden tersebut, orang bodoh akan mainkan naratif “pengkhianatan”. Seolah-olah ia adalah perbuatan yang disengajakan dan tersusun, selain ada dalang yang mahu menghina bangsa dan negara.

Isu bendera salah atau terbalik juga pernah berlaku dalam dunia sukan. Semasa temasya Sukan SEA 2011 di Jakarta, Jalur Gemilang dicetak terbalik dalam buku rasmi.

Malaysia memprotes, Indonesia memohon maaf.

Enam tahun kemudian, di Kuala Lumpur, temasya sukan serantau yang sama menyaksikan giliran Malaysia memohon maaf apabila bendera Indonesia dicetak terbalik.

Di Olimpik Rio 2016, bendera China dipaparkan salah – bintang kecil pada lambang rasmi negara itu tidak menghadap arah yang betul.

Sangat mirip

Dalam bola sepak antarabangsa pula, beberapa kali bendera Slovakia dan Slovenia tertukar kerana coraknya yang sangat mirip selain warna jalur yang sama.

Semua itu menunjukkan bahawa di pentas sukan antarabangsa yang jutaan mata memandang dan menonton sekali pun, kesilapan teknikal pada bendera boleh berlaku.

Bezanya, pelaku dan penganjur segera mengaku salah, memohon maaf dan isu itu dianggap selesai tidak lama kemudian.

Ia tidaklah diputar-putar dan dibiarkan hanyut terlalu jauh untuk menjadi isu yang serius dalam hal politik dan diplomatik.

Sayangnya di Malaysia, media sosial kerap menjadikan isu bendera terbalik sebagai peluru politik. Hanya kerana sehelai bendera dipasang salah atau terbalik, ada pihak yang tidak perlu menunggu lama untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.

Itulah yang berlaku pada Akmal Saleh bersama juak-juaknya yang berhimpun di Pulau Pinang kononnya mahu “mempertahankan maruah” ekoran berlaku insiden bendera terbalik.

Himpunan tu tidak lebih daripada sebuah teater politik jalanan apabila lebih banyak tangan yang menuding berbanding akal yang berfikir.

Mereka laung slogan seolah-olah wira bangsa, tetapi hakikatnya lebih mirip pencandu publisiti murahan.

Jadi mari kita lihat adakah insiden di Kuala Terengganu baru-baru ini yang menyaksikan bendera dikibar tanpa corak bulan dan bintang mendapat respon dan aksi yang sama.

Ironinya, masalah bendera terbalik boleh dibetulkan hanya dalam masa beberapa minit – kalau pun tidak saat – tetapi cara fikir politik yang songsang seperti itu barangkali tidak akan lurus walau sehingga kiamat.

Pihak berkuasa sudah pun menegaskan: kalau berlaku kesilapan, usah diperbesarkan. Tindakan undang-undang hanya perlu jika terbukti ia disengajakan.

Tetapi di tangan sesetengah orang politik, kesilapan kecil adalah peluang besar mencipta keuntungan jika ditukar segera menjadi bahan gempita dan diadun dengan emosi.

Menunggang bendera

Daripada bercakap soal hak asasi, ekonomi, pendidikan atau rasuah, lebih mudah mereka menunggang sehelai bendera terbalik untuk mencipta imej wira dan pejuang.

Kalau kita perhatikan, isu bendera terbalik itu bukan sekadar soal kain yang tersilap pasang, tetapi cermin kepada cara kita berfikir dan bertindak balas.

Dalam psikologi sosial, ada beberapa kecenderungan yang menjelaskan mengapa reaksi kita berbeza apabila ia melibatkan kaum yang berlainan.

Pertama, kita mudah menilai kesalahan orang lain sebagai tanda wujudnya niat yang jahat, tetapi apabila kesilapan datang daripada kelompok sendiri, ia dianggap sekadar kecuaian biasa.

Maka apabila kedai milik orang Cina tersilap pasang bendera, ia cepat dilabel sebagai “pengkhianat”. Sebaliknya jika berlaku di sekolah kebangsaan atau kedai Melayu, ia hanya diredamkan dengan alasan “tak sengaja”.

Kedua, kita cenderung melindungi kelompok sendiri dengan simpati, manakala kelompok lain lebih cepat dihukum.

Satu insiden kecil sudah cukup untuk dianggap sebagai bukti bahawa “Cina tidak setia kepada negara”, walaupun hakikatnya mungkin bendera itu sekadar tersalah pasang.

Dalam bahasa mudah, psikologi di sebalik reaksi kita jelas: kita memilih untuk melihat kesilapan dengan kaca mata berbeza dan neraca itu tergantung kepada siapa yang melakukannya.

Mengaburkan fokus

Bendera mungkin sekadar kain yang tersilap gantung, tetapi politik yang “tunggang terbalik” jauh lebih merosakkan.

Ia mengaburkan fokus rakyat, menjadikan isu remeh sebagai senjata, sementara masalah besar seperti pendidikan, kesihatan dan alam sekitar terus diabaikan.

Menghormati bendera adalah wajib. Tetapi menilai konteks dengan adil juga merupakan tanggungjawab kita sebagai warganegara.

Jangan sampai kita terlalu cepat menuduh sehingga meruntuhkan keharmonian bermasyarakat.

Yang lebih penting, rakyat perlu celik. Jangan biarkan ahli politik menggunakan bendera sebagai pentas wayang untuk menutup kelemahan mereka sendiri.

Isu bendera menjadi cerminan kepada persoalan identiti kita.

Apakah kita bangsa yang matang dan mampu menilai dengan akal, atau kita hanya bangsa yang mudah melatah dan menghunus tuduhan tanpa usul periksa?

Bendera boleh jatuh, boleh senget, boleh rosak, boleh cacat dan boleh terbalik. Tetapi yang lebih menakutkan ialah apabila kewarasan kita sendiri dibiarkan terbalik dan ditunggang keghairahan politik jahat.

Pada akhirnya, tindakan kita sendiri yang menentukan – yang terbalik itu sebenarnya bendera atau akal kita?

BACA JUGA Bila Jalur Gemilang ‘terbalik’, Akmal turun padang; bla bulan bintang hilang, kenapa sunyi?