KKM Anjak Pendekatan Keselamatan Makanan, Kini Guna Konsep ‘Smart & Predictive Gatekeeper’

FOTO BERITA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pendekatan baharu dalam memastikan keselamatan makanan negara dengan beralih daripada kaedah pemantauan konvensional kepada konsep ‘Smart & Predictive Gatekeeper’ yang berasaskan teknologi, data dan analisis ramalan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan berkenaan penting bagi membolehkan KKM mengenal pasti serta menangani risiko keselamatan makanan sebelum ia menjejaskan kesihatan rakyat. (Gambar: UKK KKM)

Beliau berkata, peranan KKM sebagai ‘Gatekeeper’ sebelum ini lebih tertumpu kepada pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan perundangan di sepanjang rantaian bekalan makanan. “Dalam era teknologi yang serba pantas hari ini, peranan Gatekeeper tidak lagi boleh kekal secara konvensional atau reaktif. Kita tidak boleh lagi sekadar menunggu krisis berlaku baru hendak bertindak. “Hari ini, KKM bertukar pendekatan menjadi ‘Smart & Predictive Gatekeeper’. Sebagai Smart Gatekeeper, tugas kita adalah untuk sentiasa bersiap sedia mendepani perkara luar jangka sebelum ia sempat menyentuh pinggan atau mengancam kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Keselamatan Makanan 2026 bertemakan “Inovasi dan Teknologi Baharu: Cabaran atau Peluang?” di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini, hari ini. Menurut Dzulkefly, keperluan terhadap pendekatan baharu itu semakin penting berikutan kebergantungan negara terhadap import makanan yang semakin meningkat. Katanya, nilai import komoditi makanan negara melonjak hampir 85 peratus dalam tempoh sedekad, daripada RM42.6 bilion pada 2013 kepada RM78.9 bilion pada 2023. “Ini bermakna sebahagian besar makanan rakyat Malaysia hari ini melalui rantaian bekalan global yang panjang, kompleks dan merentasi pelbagai sempadan negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata ancaman terhadap keselamatan makanan kini turut merangkumi risiko fizikal dan kimia baharu termasuk mikroplastik serta kesan perubahan iklim. Mengambil kira data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), katanya, satu daripada 10 orang di dunia jatuh sakit akibat mengambil makanan tercemar setiap tahun.

“Cabaran kita hari ini bukan lagi sekadar keracunan bakteria biasa, tetapi merangkumi ancaman bahan kimia baharu, mikroplastik serta impak perubahan iklim. “Ini semua adalah perkara luar jangka yang menuntut penilaian risiko berasaskan bukti saintifik yang lebih mantap,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata perkembangan teknologi pemprosesan makanan seperti 3D food printing dan smart packaging menawarkan peluang besar kepada industri dari aspek kecekapan dan kelestarian.

Bagaimanapun, katanya, setiap inovasi baharu yang belum mempunyai sejarah penggunaan selamat perlu dinilai secara ketat dan teliti sebelum diperkenalkan secara meluas. Beliau berkata KKM turut menggunakan pendekatan One Health yang menghubungkan aspek kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar dalam menangani isu keselamatan makanan. Selain itu, KKM sedang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dan analisis ramalan di pintu masuk negara bagi membolehkan risiko produk makanan import ditapis dengan lebih pantas, tepat dan dinamik.

Dzulkefly turut menggariskan lima amanat utama kepada semua pemegang taruh keselamatan makanan negara selaras dengan agenda Malaysia MADANI. Lima amanat itu ialah memperkukuh integriti dan ketelusan sistem keselamatan makanan negara; membudayakan inovasi bertanggungjawab (Responsible Innovation); meningkatkan daya saing industri tempatan di pasaran eksport global; memperkasakan kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia; serta merakyatkan pendigitalan, analitik data dan automasi dalam aktiviti penguatkuasaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan bahawa Jemaah Menteri pada 12 Jun lalu bersetuju secara rasmi supaya Malaysia menjadi ahli Asia-Pacific Food Regulatory Authority Summit (APFRAS). Menurutnya, penyertaan dalam APFRAS akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Smart Gatekeeper di peringkat serantau.

“Malaysia bakal menerajui transformasi pendigitalan tadbir urus keselamatan makanan, mengawal penggunaan bahan pembungkus mesra alam (biodegradable), serta menyelaraskan kerangka perundangan inovasi makanan baharu. “Ini secara langsung mendokong utuh Dasar Keselamatan Makanan Negara dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara,” katanya.

Persidangan Keselamatan Makanan 2026 yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan hampir 300 peserta, termasuk wakil industri, sektor swasta, kerajaan dan akademia. Dzulkefly berharap persidangan tersebut menjadi medan percambahan idea dalam memastikan kemajuan teknologi serta inovasi pemprosesan makanan terus berkembang tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat.