‘Apa lagi yang nak ditakutkan?’, Adun Selangor tempelak pembangkang keluar ketika RCI TH dibahas
Tindakan wakil rakyat pembangkang di Parlimen yang keluar Dewan tidak menyertai Mesyuarat Khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) turut menarik perhatian sidang DUN Selangor hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron mempersoalkan mengapa wakil rakyat Pas dan Wawasan terbabit berbuat demikian.
“Takkanlah Ahli Parlimen Pas dan Wawasan keluar tak mahu bahas Tabung Haji? Apa lagi yang nak ditakutkan?
“Kita dah bentang RCI. Kita sudah ada Sidang Khas Dewan Rakyat. Apa yang belum cukup lagi?” soal pemimpin muda dari parti AMANAH itu.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pas dan Wawasan memutuskan untuk keluar dari Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Khas mengenai Laporan RCI TH.
Mereka berbuat demikian selepas usul untuk menangguhkan sidang berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum itu mencadangkan supaya Mesyuarat Khas itu ditangguhkan, mengambil kira ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, Anwar membidas keputusan wakil rakyat Pas dan Wawasan terbabit dan mempersoalkan niat sebenar pembangkang, sama ada mahu berbahas mengenai dirinya atau isu membabitkan institusi kewangan penting kepada umat Islam itu.
“Nak bahas tentang saya atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?
“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.
“Apakah PN (Perikatan Nasional) yang ditunjangi Pas tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” kata Perdana Menteri menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.