7 pelaburan lesap 100%, RM13 bilion terjejas: RCI bongkar harga yang rakyat tanggung
Tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji yang dikenal pasti dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilaporkan mengalami kerugian 100 peratus nilai pelaburan, ketika jumlah kerugian keseluruhan yang berkaitan dengan salah urus terdahulu mencecah hampir RM13 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata jumlah berkenaan merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 serta RM2.6 bilion rosot nilai yang ditanggung Tabung Haji sendiri.
“Salah urus Tabung Haji ditanggung semua – beban kerugian yang dipindah ke kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai, sementara kerugian yang ditanggung Tabung Haji akhirnya menjejas pendeposit di Tabung Haji,” katanya ketika menggulung perbahasan khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI itu.
Menurut beliau, kerana kerugian tersebut akhirnya dipikul rakyat, akauntabiliti bukan pilihan.
Tujuh pelaburan rugi 100 peratus
RCI mendapati terdapat 14 pelaburan bermasalah serta proses kelulusan yang mencurigakan, termasuk isu penyembunyian maklumat dan manipulasi laporan kesesuaian pelaburan.
Daripada jumlah itu, tujuh pelaburan mengalami kerugian keseluruhan nilai pelaburan.
Antara yang disebut kerajaan ialah:
- Al-Rawda — RM1.8 bilion
- Putrajaya Perdana — RM193 juta
- Trurich Resources — RM364 juta
Laporan itu turut membawa kepada pembukaan lima kertas siasatan, selain usaha mendapatkan tuntutan sivil di dalam dan luar negara.
Siasatan turut merangkumi dakwaan berkaitan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan membabitkan bekas pengerusi dan pengurusan tertinggi.
Kerajaan menegaskan tiada campur tangan atau perlindungan akan diberikan kepada mana-mana pihak, manakala keputusan pendakwaan terletak sepenuhnya pada Pendakwa Raya.
Kini kembali kukuh
Walaupun berdepan kerugian besar sebelum ini, kerajaan berkata kedudukan Tabung Haji kini semakin stabil.
Setakat 31 Disember 2025, jumlah aset Tabung Haji mencapai RM98.58 bilion, mengatasi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.
Simpanan pendeposit pula meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025.
Kadar agihan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, dengan jumlah agihan sebanyak RM3.22 bilion.
Kerajaan turut memberi jaminan bahawa keseluruhan simpanan pendeposit Tabung Haji dilindungi di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Amir Hamzah berkata kerajaan akan meneruskan pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 selaras dengan syor RCI.
Antaranya termasuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti terhadap aktiviti pelaburan Tabung Haji.
Langkah itu bertujuan memperkukuh tadbir urus dan memastikan episod kelemahan pengurusan yang berlaku sebelum ini tidak berulang.
Daripada tujuh pelaburan yang dikatakan rugi 100 peratus kepada bil hampir RM13 bilion yang akhirnya ditanggung bersama, persoalannya kini bukan lagi sekadar berapa banyak yang hilang tetapi siapa yang perlu memastikan perkara sama tidak berulang.
BACA JUGA ‘Apa lagi yang nak ditakutkan?’, Adun Selangor tempelak pembangkang keluar ketika RCI TH dibahas