“Ayatnya betul, tapi konteksnya?” – Menteri Agama tegur MP Tenggara guna petikan al-Quran dalam RCI TH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengingatkan ahli Parlimen supaya tidak memetik ayat al-Quran secara sewenang-wenangnya bagi menyokong hujah dalam perbahasan politik, khususnya ketika membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Teguran itu ditujukan kepada Ahli Parlimen Tenggara (BN), Manndzri Nasib yang memetik beberapa ayat al-Quran ketika membahaskan laporan berkenaan di Dewan Rakyat, semalam.
Zulkifli berkata, ayat al-Quran mempunyai konteks, sebab penurunan serta tafsiran tertentu yang perlu difahami secara menyeluruh sebelum digunakan untuk mengaitkannya dengan isu semasa.
“Saya ingin menegur YB Tenggara seikhlasnya supaya kita berhati-hati menggunakan ayat al-Quran.
“Quran itu adalah panduan, tetapi jangan sampai kita memperalatkan atau menyalahgunakannya dalam konteks yang berbeza tanpa mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat.
Menurut Zulkifli, antara ayat yang dipetik Manndzri termasuk Surah Az-Zariyat ayat 10 serta Surah Al-Baqarah ayat 9 dan 42.
Beliau menjelaskan, Surah Az-Zariyat ayat 10 berkaitan golongan yang mengeluarkan pendapat secara agak-agak, manakala Surah Al-Baqarah ayat 9 pula merujuk kepada golongan munafik yang cuba memperdayakan Allah dan orang beriman.
“Adakah YB Tenggara kata saya munafik? Tidak tepat konteksnya,” katanya.
Menyembunyikan kebenaran
Zulkifli turut menjelaskan bahawa Surah Al-Baqarah ayat 42 pula mempunyai konteks tertentu, termasuk teguran terhadap golongan daripada Bani Israel yang mencampur-adukkan kebenaran dengan kepalsuan serta menyembunyikan kebenaran yang diketahui.
Justeru, beliau berpandangan ayat-ayat tersebut tidak wajar dipindahkan begitu sahaja kepada konteks RCI Tabung Haji tanpa mengambil kira disiplin ilmu tafsir dan konteks asal nas berkenaan.
“Saya ingatkan diri saya sendiri terutamanya dan kepada yang lain-lain, hati-hati apabila memetik ayat-ayat al-Quran yang suci.
“Ya, Quran itu adalah panduan. Tapi jangan sampai kita memperalatkan, menyalahgunakan dalam konteks yang berbeza tanpa mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi,” katanya.
Teguran itu dibuat ketika Dewan Rakyat membahaskan Laporan RCI Tabung Haji yang menjadi tumpuan selepas kerajaan memutuskan supaya dapatan laporan berkenaan diteliti dan tindakan susulan diambil berdasarkan penemuan yang memerlukan siasatan lanjut.
Dalam perbahasannya sebelum itu, Manndzri menggunakan beberapa petikan ayat al-Quran bagi menguatkan hujahnya berhubung isu tadbir urus dan persoalan yang dibangkitkan terhadap pengurusan Tabung Haji.
Bagaimanapun, Manndzri kemudiannya menjelaskan bahawa petikan ayat tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus, termasuk Zulkifli.
Beliau berkata penggunaan ayat berkenaan dibuat secara umum berdasarkan pengajaran yang terkandung dalam nas tersebut dan menafikan mempunyai niat untuk melabel menteri berkenaan sebagai munafik.
Kesucian al-Quran
Manndzri turut menjelaskan bahawa beliau memahami kaedah tafsir yang menyatakan bahawa sesuatu nas tidak semestinya terhad kepada sebab khusus ia diturunkan sekiranya lafaznya bersifat umum.
Namun, bagi Zulkifli, perkara paling penting ialah memastikan kesucian al-Quran tidak digunakan secara longgar untuk menguatkan hujah politik sehingga maksud asal ayat boleh disalahfahami.
Teguran itu sekali gus mengingatkan semua pihak bahawa perbahasan mengenai RCI Tabung Haji seharusnya berteraskan fakta, dapatan laporan serta proses undang-undang dan tadbir urus yang sewajarnya, bukannya sekadar pertarungan naratif politik.
Dalam konteks itu, Zulkifli menyeru semua ahli Parlimen agar lebih berhati-hati ketika membawa nas agama ke dalam perbahasan Dewan Rakyat supaya ia tidak disalahgunakan atau diletakkan dalam konteks yang bercanggah dengan maksud asalnya.
BACA JUGA ‘Jangan jadi Isa Samad nombor dua sudah’, taklimat kewangan Negeri Sembilan jadi perhatian