Lim Guan Eng terima pujian luar biasa atas usaha selamatkan Tabung Haji ketika paling kritikal

Zahid Amran


Pada satu ketika, Lim Guan Eng menjadi sasaran tuduhan kononnya kerajaan Pakatan Harapan mahu menjual aset Lembaga Tabung Haji (TH) dan menggadaikan kepentingan umat Islam.

Namun beberapa tahun kemudian, cerita yang muncul semakin berbeza.

Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan sendiri mengakui langkah kerajaan ketika Guan Eng menjadi Menteri Kewangan merupakan satu penyelesaian kreatif untuk menangani masalah kewangan TH ketika itu.

Langkah berkenaan melibatkan pemindahan aset-aset TH yang bermasalah kepada sebuah syarikat tujuan khas milik kerajaan. 

Tujuannya adalah untuk membantu memulihkan kedudukan kewangan TH supaya institusi tersebut kembali memenuhi syarat untuk mengagihkan hibah kepada pendeposit.

Shahril turut mengakui bahawa ketika beliau menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO, beliau tidak bersetuju dengan naratif yang memainkan sentimen kaum berhubung langkah tersebut.

Hakikatnya, masalah TH bukan muncul selepas pertukaran kerajaan pada 2018.

Antara persoalan besar yang dibangkitkan ialah pembayaran bonus ketika kedudukan kewangan TH berdepan tekanan.

Pada 2012, TH dilaporkan membayar bonus sekitar RM2.46 bilion pada kadar lapan peratus, sedangkan keuntungan bersihnya sekitar RM2.15 bilion.

Pada 2014 pula, sekitar RM3.24 bilion dibayar pada kadar 8.25 peratus berbanding pendapatan sekitar RM2.98 bilion.

Ini penting kerana Seksyen 22 Akta Tabung Haji menetapkan syarat tertentu sebelum keuntungan boleh diagihkan kepada pendeposit, termasuk kedudukan aset dan liabiliti institusi tersebut.

Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, masalah ini perlu diselesaikan.

Pelan pemulihan dilaksanakan dengan memindahkan aset-aset berprestasi rendah dan bermasalah TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya kerajaan.

Namun ketika itu, langkah berkenaan menjadi modal politik.

Guan Eng dan DAP dituduh mahu menjual aset umat Islam, malah sentimen kaum turut dimainkan seolah-olah aset TH telah diserahkan kepada kepentingan bukan Islam.

Hari ini, naratif tersebut semakin dipersoalkan.

Lebih menarik apabila pengiktirafan terhadap langkah pemulihan itu bukan hanya datang daripada penyokong kerajaan, tetapi turut disuarakan oleh individu yang ketika itu berada di pihak pembangkang.

Akhirnya, isu Tabung Haji memberikan satu pengajaran penting.

Institusi yang menguruskan simpanan jutaan umat Islam tidak seharusnya menjadi bahan permainan sentimen politik.

Yang perlu dinilai ialah fakta, angka dan hasil sesuatu dasar.

Jika keputusan yang dibuat berjaya membantu memulihkan sebuah institusi yang sedang berdepan masalah, maka sumbangan itu wajar dinilai secara adil, tanpa mengira siapa yang melaksanakannya.

BACA JUGA RENCANA | Saya orang Pas, tapi bab Umno saya dah penat – Bila penyatuan politik mula menguji prinsip