MP kaki ponteng patut dihalang bertanding PRU, kehadiran Parlimen disaran perlu ada ‘markah lulus’
Ahli Parlimen yang gagal mencatat tahap minimum kehadiran ke Dewan Rakyat dicadangkan supaya tidak lagi dibenarkan bertanding dalam pilihan raya berikutnya.
Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sudah tiba masanya satu piawaian lebih tegas diperkenalkan dengan menetapkan peratusan tertentu sebagai “markah lulus” kehadiran Ahli Parlimen bagi setiap penggal.
Pensyarah Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, seseorang wakil rakyat yang gagal mencapai tahap minimum wajar dianggap gagal melaksanakan fungsi asasnya sebagai anggota legislatif.
“Perkara lain yang perlu dipertegaskan adalah kehadiran Ahli Parlimen ke sidang Dewan.
“Perlu ditetapkan peratusan yang dikira sebagai markah lulus kehadiran bagi setiap penggal Parlimen,” katanya.
Untuk rekod, dua wakil rakyat yang mencatatkan jumlah ketidakhadiran Parlimen tertinggi pada tahun lalu ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masing-masing Ahli Parlimen Sembrong dan Marang.
Hishammuddin tidak hadir Parlimen sebanyak 69 hari, dengan kadar kehadiran hanya 11.5 peritus manakala Abdul Hadi tidak hadir selama 65 hari iaitu dengan hanya 16.7 peritus sahaja kehadiran.
Gagal mencapai
Mengulas lanjut, Dr Yusri mencadangkan supaya satu peruntukan undang-undang diperkenalkan bagi menghalang Ahli Parlimen yang gagal mencapai tahap kehadiran ditetapkan daripada menawarkan diri sekali lagi dalam pilihan raya seterusnya.
Ini kerana, katanya, tugas utama seseorang Ahli Parlimen bukan sekadar memenangi pilihan raya atau membawa gelaran wakil rakyat.
Sebaliknya, kata beliau, hadir ke Dewan Rakyat, berbahas serta menjalankan tanggungjawab menggubal undang-undang negara.
“Sebagai anggota legislatif, tugas utama MP adalah membuat undang-undang.
“Mereka perlu hadir ke Dewan Rakyat dan berbahas untuk membuat undang-undang,” tegasnya.
Beliau berkata, jika seseorang Ahli Parlimen gagal hadir sehingga tidak mencapai markah minimum yang ditetapkan, keadaan itu boleh dianggap sebagai bukti bahawa wakil rakyat terbabit tidak kompeten menjalankan fungsi utama yang diamanahkan kepadanya.
Katanya, lebih tidak wajar sekiranya ahli politik yang mempunyai rekod kehadiran buruk terus diberikan peluang bertanding, menang pilihan raya dan menikmati segala kemudahan serta imbuhan sebagai Ahli Parlimen.
“Jika mereka tidak hadir sidang Dewan, tidak mencapai markah lulus, maksudnya mereka gagal menjalankan fungsi utama sebagai anggota legislatif, tidak kompeten.
“Jika politikus begini dibiarkan terus bertanding pilihan raya dan menang, sekali gus menikmati gaji besar, ini satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat,” tegas Dr Yusri lagi.
BACA JUGA Pas cabut lari dari Dewan Rakyat tapi ‘muntah hijau’ di media sosial, ini sebabnya