RCI TH bongkar kerugian besar, Wanita PKR sifatkan ‘pengkhianatan yang tak boleh dimaafkan’

Wanita PKR menggesa tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian terhadap Lembaga Tabung Haji.

Setiausaha Wanita PKR Malaysia, Sangheta Jayakumar berkata, pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ini membuktikan bahawa kemelut yang melanda Tabung Haji bukanlah sekadar isu “tabungan orang Islam”, tetapi ia merupakan isu rakyat secara keseluruhannya yang bertunjangkan soal integriti, amanah, dan tadbir urus negara.

Beliau berkata, apa yang negara mesti elakkan pada masa hadapan adalah tragedi berulang seperti skandal 1MDB serta keputusan-keputusan pelaburan lemah yang memusnahkan nilai institusi awam. 

“Penggunaan amalan “creative accounting” untuk memanipulasi laporan kesesuaian pelaburan, menyembunyikan maklumat, serta menipu kedudukan kewangan sebenar semata-mata untuk membayar hibah dan bonus kakitangan yang tidak wujud adalah satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Laporan RCI mendedahkan wujudnya 14 pelaburan bermasalah yang mengakibatkan kerugian hampir RM13 bilion akibat keputusan pelaburan bermasalah sebelum tahun 2018. 

Daripada jumlah itu, tujuh daripada 14 pelaburan tersebut mengalami kerugian 100 peratus.

Dalam pada itu, Sangheta menyokong penuh ketegasan Kerajaan MADANI dalam usahanya menstabilkan dan melindungi Tabung Haji. 

Antara langkah dan komitmen penting yang dipelopori oleh Kerajaan MADANI termasuklah;

1) Mendedahkan Laporan RCI untuk bacaan umum dan membentangkannya di Parlimen tanpa berselindung.

2) Pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535): Melaksanakan pindaan supaya ahli politik aktif dilarang secara berkanun daripada menganggotai Lembaga Pengarah bagi mengelakkan campur tangan dan tekanan politik. 

3) Pengukuhan Kawal Selia Pelaburan: Memastikan aktiviti pelaburan Tabung Haji dikawal selia dengan lebih ketat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

4) Pemberian Hibah Berasaskan Fakta: Menetapkan syarat tegas bahawa pengisytiharan hibah hanya boleh dikira dan dibayar berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit, bukan lagi menggunakan laporan proforma yang dimanipulasi. 

5) Pemerkasaan Jabatan Audit Negara: Meminda Akta Audit bagi memperkukuh ketelusan dan kuasa Ketua Audit Negara untuk menyemak dan mengaudit pengurusan dana awam berlandaskan prinsip “Follow the Public Money Audit”.