‘Alhamdulillah, back home’, perkongsian ringkas Anwar tarik perhatian

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian pengguna media sosial selepas berkongsi sekeping foto dirinya berada di rumah selepas menjalani prosedur kesihatan baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar dilihat duduk sambil membaca buku dengan kapsyen ringkas, “Alhamdulillah, back home.” berserta emoji menadah tangan.

Walaupun hanya memuat naik foto dan kapsyen ringkas, perkongsian itu menerima ribuan tanda suka serta ratusan komen tidak sampai sejam selepas dimuat naik.

Rata-rata pengguna media sosial turut mengambil kesempatan meninggalkan komen mendoakan kesihatan serta kesejahteraan Perdana Menteri.

Perkongsian berkenaan menjadi perhatian selepas Perdana Menteri pada Isnin laly selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia) dan berada dalam pemantauan rapi pasukan pakar perubatan.