‘Harta umat Islam Kak Long kata geli-geli je’, anak Zahid ditempelak isu RCI Tabung Haji

Sindiran Exco Wanita Umno, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang difahamkan berkaitan isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) mengundang perhatian pengguna media sosial.

Rata-rata warganet dilihat menempelak penggunaan perkataan “geli-geli” oleh anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.

Nurulhidayah, 48, yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Bagan Datuk, pada mulanya memuat naik hantaran ringkas di Facebook yang mempersoalkan tumpuan terhadap tempoh 2014 hingga 2017.

“2014 – 2017 jer?

“2018 – 2025?

“Sabar.

“Jangan geli-geli sangat bercerita,” tulisnya yang kemudian difahami umum merujuk pada RCI TH.

Hantaran wanita yang mesra dikenali sebagai ‘Kak Long’, khususnya dalam kalangan pengikutnya dan di media sosial itu kemudian dihujani teguran dan kecaman.

Ia termasuk daripada seorang pengguna Facebook Pablo Zumara yang mempersoalkan penggunaan ungkapan tersebut ketika isu berkenaan membabitkan institusi yang menguruskan simpanan serta kepentingan jutaan umat Islam di negara ini.

“Harta umat Islam Kak Long kata geli-geli je… ingat Allah nak tarik nikmat kita sekejap je,” nasihat pengguna berkenaan.

Menunggu laporan

Walau bagaimanapun, ‘Kak Long’ yang bulan lalu menerima selempang pengiktirafan sebagai Wanita Ikon Negeri Selangor 2026/27 daripada pemimpin DAP yang merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lim Hui Ying tampil memberi respons.

Dia meminta orang ramai menunggu laporan berkenaan dibahaskan dan menyerahkan perkara itu kepada Ahli Parlimen.

“Tunggu je laporan tu dibahaskan. Tak payah bahas kat media sosial. Biar Ahli Parlimen buat kerja dia orang.

“Kenapa nak kena bergaduh sampai ‘londeh’ sana sini? Tak takut dosa fitnah?” balasnya.

Namun, reaksi Nurulhidayah itu sekali lagi mengundang tempelakan netizen yang mempersoalkan mengapa dia terlebih dahulu membangkitkan perkara berkaitan RCI TH di media sosial.

“Habis tu yang kamu bahas dalam media sosial… boleh?” balas seorang netizen pula.

Untuk rekod, laporan RCI TH setebal 211 halaman mula didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.

Pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

TH dari 2014 hingga Mei 2018 dipengerusikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Tan Sri Md Nor Md Yusof kemudiannya mengambil alih jawatan Pengerusi TH pada 10 Julai 2018 dan mengetuai institusi itu sepanjang 2019 serta 2020.

Laporan RCI TH turut mengemukakan sebanyak 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Januari 2022.

Laporan siasatan itu kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.

BACA JUGA ‘Alhamdulillah, back home’, perkongsian ringkas Anwar tarik perhatian