‘Like’ maki MP Wawasan ini lagi banyak, Wan Fayhsal kena ‘ikan bandaraya’ selepas ajak pengkritik ngopi

Niat Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengajak seorang pengkritiknya bertemu sambil minum kopi nampaknya tidak berjaya meredakan kecaman, sebaliknya mengundang lebih banyak sindiran daripada pengguna media sosial.

Semuanya bermula apabila seorang pengguna Threads, Fikri Madyiii membandingkan Wan Fayhsal dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Harap pemimpin politik muda kita boleh jadi seperti @syedsaddiq.

“Jangan jadi loser seperti @wanfayhsal – intelektual palsu yang membuat dirinya sendiri kelihatan bodoh, tidak berintegriti terhadap para pengundi dan sekadar ‘haiwan politik’ yang boleh dibuang begitu sahaja,” tempelaknya.

Wan Fayhsal yang juga Ketua Penerangan Wawasan kemudian tampil membalas dengan nada tenang dan mengajak individu berkenaan bersemuka.

“Tenang saudara. Sudi mengopi? Mari kita bersua muka,” kata bekas Ketua Armada Bersatu itu dengan mendapat 170 tanda ‘like’ setakat jam 3 petang ini.

Campak ke laut

Bagaimanapun, pelawaan itu tidak menamatkan pertikaian apabila Fikri membalas dengan membangkitkan soal tanggungjawab seorang Ahli Parlimen, termasuk tindakan keluar Dewan Rakyat ketika persidangan.

“Tanggungjawab hakiki jadi Ahli Parlimen campak ke laut. Lepas tu ajak rakyat marhaen bersua muka mengopi.

“Baik kau bersua muka dengan amanah dan tanggungjawab kau yang kau boikot keluar Parlimen sebab pajak akal sihat dengan kebebalan,” tegasnya.

Namun, satu lagi komentar daripada pengguna Threads menggunakan nama injangnation menambah lagi ‘garam’ dan mencuri lebih banyak perhatian apabila Wan Fayhsal disindir secara keras dengan perbandingan luar biasa iaitu ikan bandaraya.

Syed Saddiq meraih pujian ramai lantaran tidak bersikap seperti MP pembangkang lain yang keluar Dewan Rakyat kelmarin semasa Sidang Khas Laporan RCI Tabung Haji.

Individu berkenaan antara lain mempersoalkan prestasi Wan Fayhsal, 39, sebagai wakil rakyat apabila dibandingkan dengan Syed Saddiq, 33.

Dia juga menyifatkan kedua-duanya berada pada tahap berbeza dari segi khidmat kepada kawasan masing-masing.

Hang dengan Syed Saddiq memang sama-sama ahli politik muda. Tapi level dia dengan hang macam langit dengan bumi. Jauh gila beza.

“Dia jaga kawasan dia macam mana? Hang pula macam mana?

Hang ni ibarat ikan bandaraya ja. Bottom feeder,” kecam pedas pengguna itu dalam komen yang kemudian dilihat meraih 865 tanda ‘like’ setakat jam 3 petang ini.

Pagi kelmarin, Syed Saddiq meraih pujian orang ramai kerana beliau tidak bertindak seperti Ahli Parlimen Pas dan Wawasan termasuk Wan Fayhsal yang keluar Dewan Rakyat semasa sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebaliknya kekal dan menggunakan sidang khas itu untuk berbahas secara substantif.

Beliau menegaskan Parlimen bukan “one-man show” dan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana masalah kesihatan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk wakil rakyat meninggalkan tanggungjawab mereka.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu juga berkata, kalau ada fakta, bahaskan; kalau ada salah laku, bongkarkan.

Pemimpin muda berkenaan turut menegaskan keputusan memboikot sidang itu pada hakikatnya sebagai memboikot amanah kepada lebih 10 juta pendeposit TH, bukannya sekadar memboikot Perdana Menteri.

BACA JUGA Kedah gagal teruskan rayuan, Pas jadikan ‘geng judi menang’ modal tagih undi