Reformasi tanpa amanah hanya slogan – Izzah mahu PKR tawan semula anak muda

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengingatkan anggota parti supaya tidak menjadikan reformasi sekadar slogan, sebaliknya memastikan amanah, prinsip dan nilai perjuangan terus menjadi tunjang PKR.

Katanya, perjuangan reformasi hanya mempunyai makna sekiranya ia diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai rakyat, terutama ketika PKR berdepan cabaran untuk mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap parti dan politik.

“Tanpa amanah ilmu, kehilangan perjuangan. Tanpa amanah kuasa, kehilangan kuasa. Tanpa amanah kebebasan, kehilangan makna.

“Dan tanpa amanah, reformasi menjadi slogan yang tak lagi mengubah kehidupan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Nurul Izzah berkata PKR perlu bekerja lebih keras untuk memenangi semula kepercayaan golongan muda yang kini semakin menjauhkan diri daripada parti dan politik.

Menurutnya, kekecewaan anak muda terhadap politik tidak boleh dipandang ringan kerana mereka membesar dengan melihat sendiri tindakan ahli politik ketika berdepan pandemik Covid-19 serta pelbagai krisis selepas itu.

“Persoalannya bukanlah sekadar kekecewaan yang wajar, persoalannya bagaimana kita memenangi semula kepercayaan mereka,” katanya.

Beliau berkata golongan muda tidak sepatutnya hanya dilibatkan selepas sesuatu keputusan dibuat, sebaliknya perlu diberikan ruang untuk duduk semeja, berbincang dan mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan.

“Anak muda tak layak menunggu sehingga mereka cukup umur untuk dipercayai,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata PKR perlu mengubah pendekatan terhadap golongan muda dengan memastikan mereka bukan sekadar menjadi penerima bantuan.

Sebaliknya, katanya, golongan itu perlu diberi peluang menjadi peneraju dalam bidang ekonomi, perusahaan, profesion serta proses membuat keputusan negara.

Beliau turut mengingatkan anggota PKR supaya sentiasa bermuhasabah dan berani menilai diri sendiri bagi memastikan parti itu tidak berubah menjadi perkara yang selama ini diperjuangkannya.

“Sudah tiba masanya untuk kita melihat diri kita sendiri di dalam cermin dan bertanya kepada diri, adakah kita telah mencapai apa yang kita sasarkan.

“Jika kita tidak sanggup melihat lelaki dan wanita yang berada di hadapan cermin itu, maka kita perlu mengubah cara kita. Kita perlu jujur terhadap diri sendiri,” katanya.

Nurul Izzah berkata PKR juga perlu terus menjadi sebuah parti yang menjadi rumah kepada pelbagai golongan, termasuk kelompok progresif serta masyarakat daripada latar belakang kaum yang berbeza.

Katanya, perjuangan reformasi dan pembinaan masyarakat madani tidak boleh dipisahkan daripada prinsip keadilan sosial, demokrasi dan amanah.

“Sederhana dalam pendekatan, pragmatik dalam strategi, tapi tak pernah berkompromi pada prinsip. Itulah jantung reformasi ini dan itulah jantung Madani yang cuba kita bina semula hari ini,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan anggota parti bahawa kuasa bukan matlamat akhir perjuangan, sebaliknya amanah yang perlu dipelihara dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat.

Katanya, kepercayaan yang diberikan rakyat perlu dibalas dengan hasil nyata, selain memastikan PKR tidak mengulangi kesilapan yang boleh menyebabkan parti kembali kehilangan sokongan.

Menurut Nurul Izzah, reformasi pada akhirnya bukan sekadar perubahan dalam struktur politik, tetapi perjalanan untuk mengembalikan amanah kepada rakyat melalui kerjasama dan tindakan yang konsisten.

BACA JUGA Bukan salahkan pengundi, AMK pilih muhasabah: “Keresahan Melayu dan Islam perlu kita dengar”