Bakul makanan jadi tiket ahli? – PKR Pahang siasat dakwaan daftar penerima tanpa izin
PKR Pahang memandang serius dakwaan bahawa penerima bakul makanan di Cenderawasih didaftarkan sebagai anggota parti tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.
Setiausaha PKR Negeri Pahang, Zukri Aksah, berkata setiap permohonan keahlian parti mesti dibuat secara sukarela serta mendapat pengetahuan dan persetujuan jelas daripada pemohon.
Menurutnya, pemberian bakul makanan merupakan sebahagian daripada program kebajikan, ziarah dan penghargaan yang dilaksanakan parti bagi menyantuni masyarakat serta anggota baharu.
“Pemberian bakul makanan tidak boleh dijadikan syarat, balasan atau dorongan bagi seseorang mendaftar sebagai anggota parti.
“Tiada dasar atau arahan parti yang membenarkan sebarang bentuk paksaan dalam urusan keanggotaan,” katanya dalam kenyataan media.
Kenyataan itu susulan laporan media dan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berhubung penerima bakul makanan di Cenderawasih yang dikatakan didaftarkan sebagai anggota parti tanpa pengetahuan mereka.
Zukri berkata PKR Pahang akan mendapatkan penjelasan lengkap daripada pihak penganjur serta meneliti tatacara yang digunakan dalam program berkenaan.
Antara perkara yang akan diteliti termasuk penerangan yang diberikan kepada penerima, pengendalian maklumat peribadi serta proses pendaftaran melalui aplikasi ADIL dan pengesahan eKYC.
“Sekiranya terdapat kekeliruan atau ketidakpatuhan terhadap tatacara yang ditetapkan, tindakan pembetulan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemberian bantuan dan pendaftaran anggota di seluruh Pahang turut akan diteliti serta diperkemas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam pada itu, PKR Pahang menegaskan bakul makanan yang diagihkan parti dibiayai daripada sumber parti dan sumbangan pelbagai pihak, bukannya peruntukan rasmi kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.
Menurut Zukri, agihan berkenaan juga tidak terhad kepada golongan miskin atau memerlukan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada program kemasyarakatan dan penghargaan kepada anggota baharu yang menyertai parti secara sukarela.
“PKR Pahang menghormati persoalan yang dibangkitkan dan komited memastikan setiap program parti dilaksanakan secara telus, berintegriti dan menghormati pilihan rakyat.
“Keanggotaan parti mestilah lahir daripada keyakinan terhadap perjuangan PKR, bukan melalui paksaan atau salah faham,” katanya.
BACA JUGA Reformasi tanpa amanah hanya slogan – Izzah mahu PKR tawan semula anak muda