Nurul Izzah: Setiap jam bertelagah adalah masa yang hilang untuk menangi rakyat

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional AMK & Wanita 2026 disempurnakan oleh Saudari Nurul Izzah Anwar Timbalan Presiden PKR di MITC Ayer Keroh, Melaka. 14hb Ogos 2026 (Jumaat)

PKR tidak boleh menjadi sebuah organisasi yang terperangkap dalam konflik dalaman atau kewujudan “parti dalam parti”, sebaliknya perlu kembali memberi tumpuan kepada usaha memenangi hati rakyat dan memperkukuh agenda reformasi. Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, perpecahan dalaman hanya akan melemahkan parti selain mengalihkan perhatian daripada tanggungjawab memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Saya berdiri di atas pentas Wanita dan AMK bukan mewakili fraksi. Saya jalankan amanah sebagai Timbalan Presiden yang mahukan masa depan KEADILAN yang kalis fraksi, katanya
“Kita tidak mampu kuat sebagai sebuah organisasi kalau wujudnya parti dalam parti, dua nakhoda mengemudi satu kapal ataupun adanya tangan ghaib, struktur dan kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang zahir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita 2026 di MITC, Ayer Keroh, di sini hari ini. Nurul Izzah berkata, setiap masa yang dihabiskan untuk pertelingkahan sesama sendiri sepatutnya dimanfaatkan untuk mendekati rakyat dan membina semula kepercayaan terhadap parti.

“Setiap jam yang kita gunakan untuk berlawan dan bertelagah sesama sendiri adalah jam yang tidak kita gunakan untuk memenangi hati rakyat,” katanya. Menurutnya, tempoh sebelum pilihan raya perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh organisasi, membina kepercayaan serta merangka agenda yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata kemenangan politik bukan sekadar peluang memperoleh kuasa, sebaliknya amanah untuk melaksanakan perubahan dan membentuk budaya politik baharu. “Kemenangan itu juga peluang bagi melakar, memahat dan mencipta peluang, ruang serta budaya yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mengingatkan anggota parti bahawa kepimpinan bukan soal memiliki kuasa, sebaliknya berkaitan kemampuan memelihara amanah yang diberikan rakyat. “Kepimpinan adalah soal memelihara amanah. Perbezaannya kelihatan kecil, tetapi daripada perbezaan kecil inilah lahirnya aliran politik yang sangat berbeza, yang satu mempertahankan kerusi, yang satu lagi mempertahankan nilai,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan perlu membuktikan kuasa yang diberikan rakyat digunakan untuk melakukan pembaharuan dan menjaga kepentingan institusi negara. Mengambil contoh institusi Tabung Haji, beliau berkata usaha memperkukuh institusi berkenaan merupakan sebahagian daripada amanah kerajaan, selain menegaskan kepentingan institusi ekonomi seperti Felda dan MARA perlu terus dipertahankan.

“Amanah menjadi kerajaan diibaratkan sebagai jantung perjuangan kita, jantung reformasi itu sendiri. Namun itu tidak memadai”, tambah beliau lagi. “Emas ekonomi Felda, emas ekonomi MARA, kesemuanya harus dipertahan dan jangan sementara kita ada peluang, kita biarkan terus dimangsakan,” katanya.

“Amanah menjadi kerajaan diibaratkan sebagai jantung perjuangan kita, jantung reformasi itu sendiri. Namun itu tidak memadai.
“Emas ekonomi Felda, emas ekonomi MARA, kesemuanya harus dipertahan dan jangan sementara kita ada peluang, kita biarkan terus dimangsakan,” katanya.

Mengenai kompromi dalam politik, Nurul Izzah berkata terdapat perbezaan antara kompromi yang dilakukan demi kebaikan lebih besar dengan kompromi yang membuka ruang kepada kejahatan dan rasuah. Katanya, politik tidak boleh dibina atas tuntutan kesempurnaan kerana kompromi merupakan sebahagian daripada proses politik, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan prinsip perjuangan.

“Kesempurnaan tidak pernah menghasilkan politik. Politik dihasilkan oleh kompromi. Kita tidak boleh biarkan kesempurnaan menjadi musuh kepada melakukan kebaikan, tetapi jangan pula biarkan kebaikan itu dinafikan dengan kejahatan,” katanya. Menyentuh peranan Wanita PKR, beliau berkata sejarah tamadun Islam membuktikan wanita sejak sekian lama memainkan peranan penting dalam bidang ilmu, pendidikan dan pembentukan masyarakat.

Katanya, persoalan mengenai kepimpinan wanita tidak seharusnya lagi berkisar kepada kemampuan wanita untuk memimpin, sebaliknya bagaimana masyarakat menghargai sumbangan mereka dalam ruang awam dan domestik.

“Islam telah lama memberikan nilai kepada tugas rumah tangga. Beban kerja rumah sering dipandang rendah oleh dunia luar, sedangkan wanita bukan sekadar menunaikan tanggungjawab menguruskan rumah tangga, mereka turut memikul peranan mendidik anak-anak secara intelektual,” katanya.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata golongan muda hari ini berdepan cabaran yang berbeza berbanding generasi terdahulu, termasuk peningkatan kos sara hidup, pasaran pekerjaan yang menuntut kemahiran baharu serta perubahan teknologi yang pantas.

“Ujiannya berbeza bentuk, bukan berbeza berat. Mereka menghadapi kos sara hidup yang meningkat lebih pantas daripada pendapatan permulaan mereka dan pasaran kerja yang menuntut kemahiran baharu setiap beberapa tahun,” katanya.

Beliau berkata PKR, khususnya AMK, perlu memahami mengapa sebahagian anak muda kini mencari kepastian moral daripada tokoh agama dan bukannya menghukum kecenderungan tersebut. Menurutnya, kekosongan makna dalam kalangan anak muda boleh diisi oleh algoritma media sosial yang mengutamakan kandungan mudah, sensasi dan menyentuh emosi, termasuk maklumat palsu.

“Ruang kekosongan makna itu tidak pernah kekal kosong lama. Ia diisi hari ini oleh algoritma media sosial yang membuatkan kandungan paling mudah, paling viral, paling pasti, paling menyentuh emosi walaupun palsu belaka,” katanya.

Justeru, beliau berkata AMK perlu memastikan KEADILAN menjadi ruang yang menawarkan kepastian dari sudut keadilan sosial dan ekonomi kepada generasi muda. “Amanah AMK bukanlah amanah menunggu. Ia adalah amanah memimpin sekarang,” katanya.

Nurul Izzah turut menyeru seluruh anggota parti, khususnya AMK dan Wanita, supaya mengutamakan penyatuan, saling mengenali, membina kepercayaan dan memperkukuh perjuangan berteraskan nilai keadilan.

Beliau berkata parti yang lahir daripada keberanian anak muda perlu terus mempunyai keberanian untuk memimpin perubahan dan memastikan amanah rakyat diterjemahkan melalui tindakan serta rekod pemerintahan yang baik.

Kongres Nasional AMK dan Wanita 2026 yang membawa tema “Memugar Reformasi, Membina MADANI” menghimpunkan perwakilan serta anggota PKR dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.