Keluar kerajaan nampak berani, tapi siapa sebenarnya yang untung? – Howard Lee
Keputusan untuk keluar daripada kerajaan atas alasan menyelamatkan kedudukan politik mungkin kelihatan sebagai langkah tegas, namun tindakan itu berisiko memakan diri jika akhirnya ruang politik yang ditinggalkan diisi pihak lawan.
Pengarah Pendidikan Politik DAP, Howard Lee berkata, pengalaman beberapa parti politik di Eropah menunjukkan keputusan meninggalkan kerajaan tidak semestinya mengembalikan sokongan pengundi yang kecewa, malah boleh membuka ruang kepada pesaing untuk merampas sokongan.
Beliau berkata perkara itu wajar menjadi pertimbangan perwakilan DAP menjelang Persidangan Parti pada 16 Ogos, khususnya ketika parti berdepan persoalan sama ada perlu terus berada dalam kerajaan bagi baki penggal Parlimen ini.
Howard mengambil contoh parti nasionalis Flemish, N-VA di Belgium yang meninggalkan kerajaan pada 2018 selepas berdepan tekanan penyokong nasionalisnya berhubung isu UN Global Compact for Migration.
Menurutnya, N-VA ketika itu berharap tindakan berkenaan dapat mengukuhkan kembali kedudukannya dan merampas ruang politik daripada pesaingnya di sebelah kanan, Vlaams Belang.
Namun, keputusan pilihan raya selepas itu menunjukkan sebaliknya.
N-VA yang memenangi 33 daripada 150 kerusi pada 2014 merosot kepada 25 kerusi, manakala Vlaams Belang melonjak daripada hanya tiga kerusi kepada 18.
“N-VA keluar kerajaan dengan harapan melindungi sayap politiknya. Tetapi pesaingnya yang menduduki ruang itu.”
Bukan Belgium saja alami perkara sama
Howard berkata pola hampir sama turut dapat dilihat dalam beberapa negara lain.
Di Belanda, katanya, Geert Wilders menjatuhkan kerajaan pada 2025 berhubung dasar suaka dengan harapan konfrontasi berkenaan akan mengukuhkan sokongan terhadap PVV.
Namun, parti itu kemudiannya merosot daripada 37 kepada 26 kerusi.
Di Bulgaria pula, parti There Is Such a People (ITN) menarik diri daripada kerajaan dan membantu menjatuhkannya melalui undi tidak percaya pada 2022.
Empat bulan kemudian, parti yang sebelum itu mempunyai 25 ahli Parlimen gagal melepasi ambang pilihan raya dan hilang daripada Parlimen.
Sementara di Slovakia, Freedom and Solidarity (SaS) turut membantu menjatuhkan kerajaan gabungannya pada 2011 selepas menentang pakej bantuan zon euro.
Dalam pilihan raya berikutnya, jumlah kerusi SaS berkurang separuh daripada 22 kepada 11.
Howard bagaimanapun mengakui contoh berkenaan tidak membuktikan bahawa tindakan keluar kerajaan secara langsung menyebabkan kekalahan setiap parti.
Sebaliknya, katanya, pengalaman itu menunjukkan bahawa keluar kerajaan bukan tiket automatik untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.
Keluar kerajaan tak padam rekod lama
Menurut Howard, sesebuah parti yang memilih untuk meninggalkan kerajaan tetap perlu berdepan rekod prestasinya sepanjang berada dalam kerajaan.
Malah, katanya, terdapat risiko parti berkenaan menanggung dua beban serentak iaitu dipertanggungjawabkan atas kelemahan kerajaan terdahulu dan pada masa sama dituduh menjadi punca ketidakstabilan selepas menarik diri.
Beliau berkata keadaan itu perlu dipertimbangkan DAP ketika rasa kecewa terhadap prestasi kerajaan semakin meningkat.
“Apabila kekecewaan terkumpul, keluar kerajaan mula terasa seperti pilihan yang bersih dan tegas.”
Namun, Howard menegaskan undian pada 16 Ogos tidak seharusnya dilihat sebagai referendum mengenai tahap kemarahan anggota parti.
Sebaliknya, katanya, persoalan utama ialah pilihan mana yang mampu memberikan DAP ruang terbaik untuk meneruskan agenda reformasi, mempertahankan prinsip serta memenuhi kepentingan rakyat yang memilih parti itu.
Howard mengakui terdapat alasan yang sah untuk DAP berasa tidak puas hati.
Katanya, sebahagian reformasi yang sudah dilaksanakan mudah dilupakan, manakala perkara yang belum selesai, jangkaan yang tidak dipenuhi serta keputusan tidak popular pula lebih mudah mendapat perhatian.
Bagaimanapun, katanya, kekal dalam kerajaan tanpa hasil yang jelas juga boleh menghakis kredibiliti parti.
Beliau berkata DAP tidak semestinya perlu memilih antara dua ekstrem iaitu kekal dalam kerajaan tanpa syarat atau keluar serta-merta.
Sebaliknya, katanya, parti boleh mempertimbangkan pendekatan bersyarat dengan menetapkan sasaran reformasi, tempoh masa dan ukuran pelaksanaan yang jelas.
DAP juga, katanya, perlu menjelaskan kepada rakyat perkara yang sudah dilaksanakan serta perkara yang masih tersekat.
Menurut Howard, jika tindakan keluar kerajaan akhirnya dianggap perlu, DAP perlu memastikan alasan politiknya sudah difahami dan diterima rakyat sebelum keputusan itu dibuat.
“Jika akhirnya tindakan keluar kerajaan menjadi perlu, rakyat mesti memahami sebabnya sebelum surat peletakan jawatan ditulis. Hujah politik itu mesti sudah dimenangi terlebih dahulu.”
Katanya, persoalan sebenar pada 16 Ogos bukanlah sama ada DAP mempunyai sebab untuk marah kerana memang terdapat perkara yang mengecewakan.
Sebaliknya, perwakilan perlu menilai sama ada tindakan keluar kerajaan akan menguatkan kedudukan parti dan mempercepatkan reformasi atau sebaliknya memberikan keuntungan kepada pihak yang mahu DAP dilemahkan serta disingkirkan daripada kerajaan.
“Kuasa bukan matlamat. Tetapi menyerahkan kuasa juga tidak secara automatik menjadi prinsip.”
Howard berkata keberanian dalam politik tidak semestinya bermaksud meninggalkan meja rundingan.
Ada ketika, katanya, keberanian bermaksud kekal cukup lama untuk memastikan kerja yang dibawa kepada rakyat dapat diselesaikan.
Beliau menyeru perwakilan DAP membuat keputusan dengan fikiran yang jernih dan melihat kesan keputusan tersebut selepas persidangan.
“Strategi bermula apabila kita berhenti bertanya, sejauh mana kita marah? Dan mula bertanya, apa yang lawan mahu kita lakukan selepas ini? soalnya.
BACA JUGA Nurul Izzah: Setiap jam bertelagah adalah masa yang hilang untuk menangi rakyat