RM12 bilion hilang, Anwar mahu penyakau Tabung Haji disiasat tanpa pilih bulu
Kehilangan nilai RM12 bilion dalam episod malang dana titik peluh rakyat marhaen dalam isu Tabung Haji(TH) tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Untuk itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan mengenai penyalahgunaan dana TH tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya perlu disiasat secara profesional dan diambil tindakan jika wujud kesalahan.
Presiden PKR itu berkata, memang wujud amalan “sakau” di TH dan isu berkenaan perlu dibawa ke ruang perbahasan terbuka supaya rakyat mengetahui perkara sebenar.
“Di Melaka ini saya nak beritahu, memang ada sakau pada Tabung Haji ini. RM12 bilion hilang bukan sakau? Memang ada (sakau),” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sebarang dakwaan membabitkan salah guna wang dan amanah rakyat perlu disiasat terlebih dahulu oleh badan berkuasa sebelum tindakan undang-undang diambil.
Menurutnya, proses siasatan tidak seharusnya dipengaruhi kedudukan, jawatan atau latar belakang individu yang terbabit.
“Siapa yang bertindak melanggar peraturan, mencuri harta dan amanah rakyat termasuk orang Islam yang terpaksa dibayar oleh seluruh rakyat Malaysia, ambil tindakan setegas mungkin,” katanya.
Beliau berkata, kesan daripada penyelewengan atau penipuan akhirnya ditanggung oleh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Justeru, Anwar menegaskan agensi penguatkuasaan perlu menjalankan siasatan secara profesional tanpa berlengah atau memilih pihak tertentu.
“Biar badan yang berkuasa siasat secara profesional. Jangan berlengah, jangan berasa takut, jangan kira hati mana, jawatan mana, siapa dia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menolak dakwaan bahawa tindakan terhadap kes-kes berprofil tinggi negara dibuat atas dasar dendam politik.
Katanya, persepsi sedemikian tidak sepatutnya menghalang proses keadilan daripada berjalan.
Beliau berkata, kes besar termasuk 1MDB dan beberapa kes lain tetap perlu diteruskan berdasarkan proses undang-undang dan fakta, bukannya sentimen politik.
“Kalau ambil tindakan, dinamanya dendam. Tidak ambil tindakan, dikatakan kompromi, lembab… itu tak betul,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan tidak boleh hanya berdiam diri apabila berdepan masalah yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
“Kita akan melakukan perkara yang betul. Sekarang terdapat kesempatan dan terdapat penyelesaian. Oleh itu, kita akan menyelamatkan negara ini,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Kongres Nasional PKR 2026 berlangsung dengan tema Memugar Reformasi Membina MADANI, yang menghimpunkan perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.
BACA JUGA Hormati suara mahasiswa, Anwar umum mansuh AUKU