Selepas TH, Anwar sasar pulihkan Felda

Selepas memberi tumpuan kepada isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), kerajaan akan meneruskan usaha untuk memulihkan Felda, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata usaha itu selari dengan perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu siasatan dan usaha pembaikan terhadap institusi milik rakyat tidak terhenti setakat TH.

Menurutnya, perkara itu dibangkitkan Seri Paduka ketika pertemuan dengan beliau minggu lalu.

“Agong minggu lalu maklum kepada saya, perdana menteri, jangan berakhir dengan TH sahaja. Teruskan.

“Agong tanya siapa jaga Felda sekarang. Saya jawab saya. Selesai TH, bongkar Felda,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan atau menyalahgunakan harta rakyat.

Beliau berkata siasatan perlu dijalankan badan penguatkuasaan berkaitan sebelum tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terbukti melakukan penyelewengan.

“Siasat. Tindakan badan penguatkuasaan. Tetapi percayalah, arahan jelas, siapa yang bertindak melanggar peraturan, curi harta rakyat, yang sakau itu…

“Arahan, ambil tindakan sepantas mungkin,” katanya.

Menurut Anwar, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kepentingan serta harta rakyat terus dilindungi, selain memperkukuh tatakelola institusi yang berkaitan.

Beliau menegaskan usaha memperbaiki dan memulihkan institusi rakyat perlu diteruskan tanpa mengira siapa yang terbabit, dengan tindakan berasaskan siasatan dan proses penguatkuasaan yang sewajarnya.

BACA JUGA Hormati suara mahasiswa, Anwar umum mansuh AUKU