Sukuk RM12.5 bilion tamat tempoh tetap diselesaikan, bukan gagal bayar, Mujahid perjelas

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan Tabung Haji tidak mengalami kerugian susulan penstrukturan semula Sukuk Siri 1 Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kerana penebusan sukuk masih berjalan.

Menurut Mujahid, Sukuk Siri 1 UJSB yang matang pada 29 Mei 2026 bukan satu kegagalan pembayaran mengikut tempoh ditetapkan.

Sebaliknya, kata Timbalan Presiden AMANAH itu, obligasi sekitar RM12.5 bilion telah diselesaikan mengikut mekanisme penebusan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau berkata, kira-kira RM965 juta telah ditebus melalui aset TH yang dikembalikan semula, manakala baki sekitar RM11.51 bilion dibiayai semula menerusi penerbitan sukuk baharu yang mempunyai tempoh matang sehingga 2036.

Kata beliau, sukuk baharu mempunyai kupon 3.825% yang akan dibayar setiap tahun kepada Tabung Haji sehingga tamat tempoh. 

Ini bermakna, setiap tahun Tabung Haji akan memperoleh RM440juta × 10 tahun + prinsipal RM11.51 bilion menjelang 2036. 

“Jadi, UJSB masih mempunyai obligasi kepada TH, tetapi itu bukan bermakna tunggakan hutang yang gagal dibayar. 

“Ia adalah hutang yang telah distruktur semula, sementara TH kekal mempunyai tuntutan kewangan dan menerima pulangan atas instrumen yang baru,” kata beliau dalam kenyataan malam tadi.

UJSB sebagai Syarikat Bertujuan Khas (SPV) di bawah MoF diperbadankan telah dimandatkan untuk dua tujuan, memulihkan ‘aset-aset sakit TH’ dan memenuhi obligasi menebus sukuk yang diterbitkan untuk TH mengikut tempoh matangnya. 

Kaedah pembayaran secara in-kind melalui aset yang telah dipulihkan sebagai contoh RM950juta dari tanah TRX dan Ladang di Sarawak telah dikembalikan kepada TH, manakala baki RM11.51 Bilion telah distrukturkan semula melalui sukuk baharu yang dipanjangkan tempoh matangnya kepada 10 tahun iaitu 2036. 

“Umat Islam harus berterimakasih kepada kerajaan Madani hari ini yang terus menerus memberi komitmen tidak berbelah bahagi memelihara kepentingan Tabung Haji,” kata beliau