Reformasi lebih tegas selepas tiga tahun kukuhkan politik dan ekonomi – Anwar

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Kongres Nasional KEADILAN 2026 yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Presiden PKR di MITC Ayer Keroh, Melaka. 15hb Ogos 2026 (Sabtu)

Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agenda reformasi kerajaan akan digerakkan dengan lebih tegas selepas tiga tahun pentadbiran berjaya mewujudkan kestabilan politik, keselamatan negara serta prestasi ekonomi yang semakin kukuh.

Berucap pada Majlis Perasmian Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Ayer Keroh, hari ini, Anwar berkata perubahan yang diperjuangkan PKR sejak penubuhannya tidak mudah dicapai, namun kerajaan kini telah melaksanakan pelbagai pembaharuan yang perlu diakui dan diteruskan.

Beliau berkata antara pembaharuan yang telah dilaksanakan termasuk pindaan Akta Audit, Akta Perkhidmatan Parlimen, reformasi birokrasi, usaha memperkukuh agenda antirasuah serta pembaharuan berkaitan ekonomi dan kebajikan pekerja.

“Kalau kita menegur, menggesa dan mendesak, jangan memadam kenyataan tentang apa yang sudah dilakukan.

“Sudah hampir tujuh dekad negara merdeka, masih ada ratusan perubahan yang perlu dilakukan. Tidak semuanya boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Anwar turut mengakui masih terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan, khususnya dari aspek komunikasi dan penyampaian dasar kepada rakyat.

Menurut beliau, pencapaian ekonomi yang baik tidak memadai sekiranya kerajaan gagal menyampaikan mesej dengan berkesan atau memahami keresahan rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata peningkatan kos sara hidup masih menjadi kebimbangan rakyat walaupun keadaan ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.

Sehubungan itu, katanya kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM15 bilion setahun selain melaksanakan inisiatif Jualan Rahmah MADANI bagi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup.

Anwar turut mempertahankan keputusan kerajaan memperkukuh sistem saraan penjawat awam yang menyaksikan peningkatan gaji antara 15 hingga 20 peratus, dengan tambahan peruntukan sekitar RM18 bilion bagi tahun ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan isu Sabah dan Sarawak kini bukan lagi dilihat sebagai agenda sampingan, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada agenda nasional kerajaan.

Katanya, pembangunan negara perlu dilaksanakan secara bersama dengan memastikan Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian sewajarnya.

“Kalau kita mahu berjaya sebagai sebuah negara, Semenanjung mesti bekerja bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak. Kita mesti maju bersama. Ini bukan soal menambah undi di Semenanjung. Ini pilihan kita untuk melakukan perkara yang betul, iaitu keadilan untuk semua dan pembangunan untuk setiap negeri dalam negara ini,” katanya.

Anwar berkata peruntukan pembangunan untuk Sabah dan beberapa negeri lain turut meningkat sejak Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran, namun kerajaan perlu memperbaiki komunikasi bagi memastikan rakyat memahami usaha yang telah dilaksanakan.

Menyentuh isu Tabung Haji, beliau menegaskan tindakan susulan terhadap sebarang penyelewengan atau salah laku perlu diserahkan kepada badan penguat kuasa dan institusi kehakiman.

Anwar berkata arahan kerajaan adalah jelas supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan atau menyalahgunakan amanah rakyat tanpa mengira parti, jawatan atau kaum.

Anwar berkata arahan kerajaan adalah jelas supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan atau menyalahgunakan amanah rakyat tanpa mengira parti, jawatan atau kaum.

“Jangan kira parti mana, jawatan mana, kaum mana. Kalau salah, ambil tindakan. Proses siasatan adalah urusan badan penguat kuasa, proses pengadilan pula urusan badan kehakiman. Tetapi arahan saya jelas, jangan berlengah dan jangan bertolak ansur terhadap penyelewengan,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa agenda membanteras amalan rasuah dan ketirisan perlu diteruskan bagi memastikan wang awam tidak disalahgunakan.

Beliau turut menyatakan bahawa agenda membanteras amalan rasuah dan ketirisan perlu diteruskan bagi memastikan wang awam tidak disalahgunakan.

Dalam perkembangan berkaitan pendidikan, Anwar mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai sebahagian daripada usaha memberikan lebih banyak kebebasan kepada mahasiswa.

Beliau berkata pembaharuan pendidikan turut merangkumi usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak, TVET dan STEM serta memastikan akses prasekolah tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu di kawasan bandar.

Sementara itu, Anwar memuji prestasi Wanita KEADILAN dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang menurutnya semakin berani menyuarakan pandangan serta teguran terhadap kepimpinan parti.

Beliau berkata perbahasan yang berlangsung pada persidangan Wanita KEADILAN dan AMK menunjukkan kematangan anggota parti dalam membawa agenda perubahan.

“Sebagai pimpinan parti, saya mengikuti dari dekat perbahasan mereka. Saya harus lahirkan kenyataan yang ikhlas di sini, saya bangga dengan anak-anak kita. Kehadiran, penyertaan dan isi perbahasan mereka antara yang terbaik berbanding puluhan tahun yang lalu. Bernas dan berani menegur, termasuk menegur Perdana Menteri,” katanya.

Anwar turut mengingatkan anggota KEADILAN bahawa perjuangan reformasi tidak boleh terpisah daripada realiti politik, ekonomi dan keperluan rakyat. Beliau berkata kestabilan politik dan keselamatan negara perlu dipelihara bagi memastikan agenda reformasi dapat diteruskan.

“Perubahan telah dilakukan, tetapi masih banyak yang belum selesai. Saya terima teguran dan kritikan. Tetapi pada masa yang sama, kita mesti jejak ke bumi nyata dan memahami keterbatasan yang ada,” katanya.

Kongres Nasional KEADILAN 2026 berlangsung di MITC, Ayer Keroh, Melaka, dengan menghimpunkan pimpinan serta perwakilan parti, selain rakan-rakan Pakatan Harapan, parti dalam Kerajaan Perpaduan, parti sahabat, ahli Parlimen, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil negara asing.