Gempa ragut 51 nyawa, lebih 5,900 mangsa dipindahkan, darurat 14 hari diisytihar
Kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia mengisytiharkan tempoh tindak balas kecemasan selama 14 hari susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 yang meragut sekurang-kurangnya 51 nyawa di Pulau Flores.
Tempoh berkenaan berkuat kuasa dari 15 hingga 28 Ogos selepas dekri mengenainya ditandatangani Gabenor Nusa Tenggara Timur, Melki Laka Lena.
Pengisytiharan itu membolehkan operasi tindak balas bencana, pemindahan penduduk, pengagihan bantuan serta usaha pemulihan di kawasan terjejas dilaksanakan dengan lebih tersusun dan segera.
Kelmarin, gempa kuat berlaku berpusat kira-kira 30 kilometer timur laut Mbay di Kabupaten Nagekeo pada kedalaman 15 kilometer.
Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), sekurang-kurangnya 51 orang maut manakala 113 lagi cedera akibat bencana tersebut.
Keadaan turut diburukkan dengan 341 gegaran susulan yang direkodkan selepas gempa utama.
Ribuan penduduk kini terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing, dengan 3,356 orang berlindung di Sikka, 2,078 di Manggarai dan 500 lagi di Nagekeo.
Penduduk di Bima dan Selayar turut dilaporkan dipindahkan susulan kesan gempa berkenaan.
Bencana itu turut meninggalkan kemusnahan besar terhadap kediaman dan kemudahan awam.
Sebanyak 914 rumah dilaporkan mengalami kerosakan teruk, 126 rosak sederhana dan 317 lagi mengalami kerosakan ringan.
Pada masa sama, 93 kemudahan pendidikan, 36 kemudahan kesihatan dan 38 pejabat kerajaan turut terjejas.
Di Maumere, Kabupaten Sikka, pasukan penyelamat serta petugas kecemasan masih menjalankan operasi membersihkan runtuhan di bangunan Pelabuhan Laurentius Say Maumere yang mengalami kerosakan teruk.
Mangsa yang cedera pula menerima rawatan di pusat perubatan sementara yang dilengkapi khemah serta katil bagi memenuhi keperluan rawatan mendesak selepas fasiliti kesihatan turut terjejas akibat gempa.
BACA JUGA Tohmah kerajaan zalimi pembangkang, tetapi semua 222 Parlimen dapat tambahan RM1 juta