‘Belanjawan alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor’ – AMK bidas Sanusi
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membidas hasrat Perikatan Nasional (PN) menjadikan negeri itu sebagai titik mula untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan mencabar pembangkang membuktikan terlebih dahulu kemampuan mereka menawarkan dasar dan pentadbiran yang lebih baik.
Menurutnya, Pas dan PN berhak bercita-cita mengambil alih Selangor dalam sebuah negara demokrasi, namun rakyat berhak mengetahui apakah tawaran sebenar mereka selain slogan mahu menukar kerajaan.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu menjadikan Selangor sebagai titik mula untuk menumbangkan PH sebelum membawa momentum berkenaan ke peringkat Persekutuan.
“Kalau benar mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka sudah bersedia menjadi kerajaan, tunjukkan kesediaan itu melalui dasar dan perancangan yang jelas.
“Menjadi kerajaan bukan sekadar mempunyai jentera pilihan raya yang ramai atau memenuhi pentas ceramah.
“Menjadi kerajaan memerlukan kemampuan mengurus hasil negeri, pembangunan, pelaburan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat.
“Kalau Belanjawan Alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Ketua AMK Cabang Klang berkenaan berkata, sekiranya Sanusi mahu menjadikan prestasi sebagai ukuran, AMK Selangor bersedia menyambut cabaran itu.
Tegasnya, Selangor kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara selain menjadi antara pusat penting pelaburan, perindustrian, perdagangan dan peluang pekerjaan.
Slogan politik
Shahrul berkata, kedudukan tersebut bukan terhasil melalui slogan politik semata-mata, sebaliknya didorong kesinambungan dasar, pembangunan infrastruktur, keyakinan pelabur serta kestabilan pentadbiran.
“Kalau Sanusi mahu membandingkan rekod pentadbiran, bandingkan Selangor dengan negeri-negeri yang ditadbir Pas dan biarkan angka serta rakyat sendiri membuat penilaian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri baru membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030 yang menggariskan hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Shahrul, ketika kerajaan negeri merancang bagaimana mahu mengembangkan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, menarik pelaburan dan memperkukuh pembangunan sehingga 2030, PAS pula hadir dengan agenda untuk menumbangkan kerajaan.
“Itulah bezanya antara sibuk merancang bagaimana mahu membangunkan negeri dengan sibuk merancang bagaimana mahu mendapatkan kuasa,” katanya.
Shahrul turut mencabar Pas membentangkan rancangan konkrit mengenai pengurusan ekonomi, peningkatan hasil negeri, pelaburan bernilai tinggi dan penciptaan pekerjaan bergaji tinggi sekiranya benar-benar mahu menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif.
Pada masa sama, katanya, pembangkang juga perlu mengemukakan penyelesaian terhadap isu perumahan, banjir, pengangkutan, infrastruktur dan kos sara hidup.
“Rakyat Selangor mahu tahu apa yang Pas mampu lakukan lebih baik, bukan sekadar mendengar siapa yang PAS mahu tumbangkan,” katanya.
Tidak gentar
Shahrul yang juga Ahli Majlis Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menegaskan AMK Selangor tidak gentar dengan pengisytiharan Sanusi dan mempersilakan PAS serta PN berkempen secara demokratik di seluruh negeri.
Bagaimanapun, katanya, pertandingan politik perlu berasaskan dasar, rekod dan prestasi serta tidak menggunakan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan.
“Tidak ada tempat untuk politik perkauman di Negeri Selangor.
“Selangor dibangunkan bersama oleh rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang. Melayu, Cina, India dan seluruh masyarakat Selangor mempunyai peranan dalam membina kekuatan ekonomi dan sosial negeri ini,” katanya.
Shahrul berkata, Pas juga tidak seharusnya menganggap Selangor sekadar batu loncatan untuk mencapai cita-cita menukar kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Selangor adalah negeri kepada jutaan rakyat yang mahukan kestabilan, peluang ekonomi, pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.
“Kalau Pas mahu menawan Selangor, lawanlah dengan idea, dasar dan prestasi. Jangan cuba menawan Selangor dengan sentimen yang memecah-belahkan rakyat,” kata Shahrul lagi.
BACA JUGA KB Sentral, takkan 70 tahun baru nak siap