Gobind: DAP kekal, reformasi teras mesti lulus tahun ini

Keputusan DAP untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal bukanlah sebuah cek kosong.

Sebaliknya, keputusan itu perlu dilihat sebagai mandat untuk memastikan agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini benar-benar dilaksanakan.

Selepas perwakilan DAP membuat keputusan pada Kongres Kebangsaan parti, perhatian kini beralih kepada langkah seterusnya.

Persoalannya bukan lagi sama ada DAP perlu kekal atau meninggalkan kerajaan, tetapi apakah yang mampu dilaksanakan sepanjang baki tempoh pentadbiran ini.

Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menegaskan bahawa keputusan untuk kekal mesti disusuli dengan tindakan segera, khususnya dalam reformasi institusi dan ekonomi.

“Walaupun parti telah mengundi untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan, langkah segera dan konkrit kini mesti diambil untuk melaksanakan agenda teras kita, khususnya reformasi institusi dan ekonomi,” katanya.

Antara reformasi utama yang perlu dipercepatkan ialah pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA dan Akta Perhimpunan Aman.

Sukar diterima

Lebih penting, sebahagian besar daripada reformasi tersebut bukan lagi berada pada peringkat idea.

Menurut Gobind, rang undang-undang berkaitan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta had dua penggal Perdana Menteri telah disediakan.

Pindaan SOSMA dan Akta Perhimpunan Aman juga telah melalui proses perbincangan.

Justeru, alasan bahawa kerajaan memerlukan lebih banyak masa semakin sukar diterima.

Gobind turut merujuk kepada tindakan kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Tabung Haji sebagai bukti bahawa perkara penting boleh dipercepatkan apabila terdapat kemahuan politik.

“Kita mesti memuktamadkan dan membentangkannya tanpa sebarang kelewatan lagi,” tegas beliau.

Jika perlu, sidang khas Parlimen boleh diadakan atau hari persidangan Dewan Rakyat ditambah bagi memastikan rang undang-undang reformasi diberikan keutamaan.

Keputusan untuk kekal dalam kerajaan akhirnya hanya akan mempunyai makna sekiranya ia menghasilkan perubahan. Sasaran untuk meluluskan reformasi utama sebelum penghujung tahun ini perlu menjadi ukuran pertama terhadap kesungguhan tersebut.

Mandat sudah diberikan. Kini masanya untuk melaksanakannya.

BACA JUGA Pemuda AMANAH sedia khidmat guaman pro bono kepada penerima LOD Asyraf Wajdi